Selasa, 26 Mei 2009

sebuah karya yang penuh keinsafan dan kesyahduan: Jangan Lihat Kopiah di Kepalaku

Pada tahun 2009M/1430H: Ustaz Hj. Razak, 49 tahun sedang tekun memberi ceramah agama kepada sebahagian penduduk di taman perumahan Taman Villa di bandar raya JB. Ramai yang khusyuk mendengarnya. Setelah selesai memberi ceramah, salah seorang pendengar ceramah itu, Datuk Amri, 39 tahun menjemput Razak ke kediamannya. Rupa-rupanya Amri tahu rahsia silam Razak. Amri merupakan peminat band rock Rosta yang vokalisnya dikenali sebagai Rezza. Razaklah Rezza itu ketika era 90-an. Amri ingin mengetahui perjalanan hidup dari seseorang yang bergelar Rezza hinggalah berhijrah menjadi sealim Ustaz Hj. Razak seperti sekarang. Razak akui yang Rezza itu nama samarannya kerana sebagai artis ketika itu, nama itu dilihat lebih komersial dan popular dari nama Razak. Maka bermulalah cerita Razak...

Rezza merupakan vokalis yang bersuara serak-serak basah yang keras. Namun, suaranya yang unik itu menyebabkan nama Rosta diangkat sebagai band rock yang sangat terkenal dan digeruni oleh band-band rock yang lain. Lagu-lagu Rosta memang sedap kerana mendapat sentuhan komposer berbakat selain ahli-ahli Rosta juga terlibat dalam mencipta lagu. Lagu-lagu Rosta sering mengungguli carta top 10 di radio dan TV. Rosta turut berjaya menjadi johan dalam Battle of The Bands peringkat kebangsaan selain berjaya menyandang johan dalam Anugerah Juara Lagu 90. Rosta turut berjaya menghasilkan puluhan album yang sangat laris dalam jualan di pasaran. Begitulah Rosta ketika zaman kemuncak kegemilangannya. Sehinggakan banyak pihak swasta berminat untuk menaja konsert persembahan yang dimainkan Rosta. Rumah ahli-ahli Rosta yang disewa tidak lagi diduduki apabila ada pihak yang menghadiahkan sebuah rumah banglo siap dengan studio jamming untuk mereka diami. Hidup ahli-ahli Rosta termasuk Rezza begitu mewah sehingga mereka dilabel sebagai artis berkumpulan paling mewah di Malaysia.

Pada tahun 1995, Rezza telah ditangkap kerana didapati mabuk akibat minum arak di sebuah kelab malam. Malah, dia juga terlibat dalam pergaduhan dengan beberapa orang samseng dan juga mempunyai skandal dengan beberapa orang wanita bergelar ‘Datin’. Rezza dipenjara selama setahun atas kesalahan sengaja mencederakan orang lain. Prestasi Rossa mula merosot akibat berita negatif tentang Rezza. Malah, ketiadaan Rezza dan masalah disiplin Rezza menjadi punca hadiah banglo mewah mereka ditarik balik dan pihak penaja tidak berminat untuk menaja mereka lagi. Kemunculan band-band rock yang lain menambahkan lagi persaingan mereka. Selepas setahun dipenjarakan, Rezza yang hilang haluan kerana tertekan dengan rakan-rakan Rosta yang lain mula menagih dadah. Akibatnya, Rezza dipenjara selama 4 tahun. Kesannya, ahli-ahli Rosta berpecah dan sekaligus Rosta dibubarkan sepenuhnya.

Sepanjang Rezza di penjara, Rezza tidak lagi menggunakan nama Rezza kerana dia sedar nama itu membawa imej negatif dalam dirinya. Dia menggunakan nama asalnya iaitu Razak untuk mendalami ilmu agama Islam yang selama ini diabaikan. Atas nasihat Imam Yunus, pegawai hal ehwal agama Islam di Penjara Sg. Buloh, Razak bertaubat nasuha dan benar-benar menyedari akan kesilapannya.

Pada tahun 2000, Razak dibebaskan dari penjara. Selepas dibebaskan, Razak mengikuti kursus-kursus agama Islam untuk mendalami lagi pengetahuan agamanya. Sejak hari itu, Razak gemar berkopiah. Razak akhirnya diterima untuk bekerja di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pembantu am hal ehwal sosial. Akhirnya, dia bergelar Ustaz Razak selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam. Sejak bergelar ustaz, Razak bergerak sebagai penceramah bebas. Imej Razak yang bercelak tebal dan berambut pendek serta berkopiah menyukarkan orang ramai mengecam bahawa dialah vokalis Rosta yang popular suatu masa dahulu. JAIS telah menaja beberapa orang kakitangannya yang cemerlang untuk pergi menunaikan fardu haji di Makkah. Ustaz Razak juga terpilih dalam rombongan itu. Ustaz Razak bersyukur kepada Allah. Kini, dia bergelar Ustaz Hj. Razak. Tetapi, dia masih bujang lagi.

Satu-satunya adik perempuan Datuk Amri, Athirah khusyuk mendengar cerita Ustaz Hj. Razak itu. Athirah kagum dengan penghijrahan besar yang dilakukan oleh Ustaz Hj. Razak. Akhirnya, Athirah sendiri yang melamar Ustaz Hj. Razak setelah jatuh cinta pandang pertama. Ustaz Hj. Razak tidak menolak lamaran itu. Mereka akhirnya bernikah dengan berwalikan Datuk Amri sendiri dalam suasana yang sederhana. Ustaz Hj. Razak turut menyanyikan lagu-lagu rock ketika dia dengan Rosta dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan