Rabu, 15 Ogos 2012

sebuah karya aksi sains fiksyen: Luar Biasa Man (sambungan Tangan Kananku)

Zaidi berjaya memusnahkan senjata Prof. Mazlan. Prof. Mazlan pula akhirnya diberkas polis dan dipenjarakan di sebuah penjara khas di Kota Kinabalu, Sabah. Tiga tahun kemudian, tangan kanan Zaidi mula mengalami simptom-simptom aneh seperti kekejangan dan lemah otot. Zaidi menghubungi Dr. Tajul supaya tangan kanannya diperiksa semula. Dr. Tajul mendapati tangan kanan Zaidi mula menerima kesan-kesan sampingan akibat suntikan serum ciptaan Dr. Tajul yang dulu. Dr. Tajul menyarankan agar tangan kanan Zaidi dipotong sepenuhnya untuk mengelakkan dari merebaknya sisa-sisa serum itu ke anggota badan yang lain. Zaidi tidak bersetuju dengan saranan itu memandangkan dia tidak sanggup hidup dengan satu tangan. Dalam masa yang sama, Dr. Tajul mengkaji balik formula serum yang pernah diciptanya itu dan mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan kesan-kesan sampingan yang dialami oleh Zaidi itu. Prof. Mazlan pula berjaya melepaskan diri dari penjara apabila dia mendapat bantuan daripada seorang teleporter, Rayyan. Rayyan telah membawa Prof. Mazlan ke markas Ex Boy, yang meghimpunkan seramai 5 orang manusia yang memiliki kuasa luar biasa masing-masing. Selain Rayyan sebagai teleporter, ada juga Que (telekinesis), Boy (radioactive), Den (invisible), dan Amad (kebal). Boy yang mengetuai kumpulan itu telah meminta supaya Prof. Mazlan mencipta mesin yang boleh menggabungkan semua kelima-lima kuasa dengan tujuan supaya Boy dapat menguasai gabungan semua kuasa itu. Prof. Mazlan pun bersetuju kerana terhutang budi dengan Rayyan dan kumpulan Ex Boy itu. Setelah dua bulan, akhirnya Dr. Tajul berjaya menyiapkan serumnya. Kali ini, dia yakin bahawa serum ciptaannya stabil dan selamat untuk diberikan kepada Zaidi. Tangan Zaidi pula telah lumpuh sepenuhnya. Setelah tangan kanan Zaidi disuntik dengan serum itu, Dr. Tajul mendapati tangan kanan Zaidi beransur-ansur kembali normal tanpa memiliki sebarang kuasa luar biasa mahupun kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, Prof. Mazlan akhirnya berjaya mencipta mesin seperti yang dikehendaki oleh Boy. Boy yang masuk ke dalam mesin itu akhirnya berjaya memiliki semua kuasa luar biasa seperti yang diinginkannya. Lalu, bermulalah misi Ex Boy untuk menghuruharakan dunia. Prof. Mazlan yang masih berdendam dengan Zaidi telah meminta bantuan Ex Boy supaya menumpaskan Zaidi dan Dr. Tajul terlebih dahulu. Ex Boy pun mula mencari Zaidi dan Dr. Tajul. Prof. Mazlan yang masih tinggal di markas Ex Boy itu telah mengubahsuai mesinnya kepada robot suit yang kebal dan canggih yang mana Prof. Mazlan pun berhasrat untuk menghuruharakan dunia, sama seperti agenda Ex Boy juga. Zaidi dan Dr. Tajul telah diserang oleh Ex Boy. Dalam serangan itu, Dr. Tajul telah terbunuh manakala Zaidi cedera parah. Ex Boy meninggalkan Zaidi keseorangan. Zaidi telah diselamatkan oleh Dr. Antonio, seorang pakar bioteknologi dari Sepanyol yang menetap di Malaysia. Zaidi telah dibawa ke sebuah makmal rahsia Kementerian Pertahanan untuk menjalani eksperimen yang mana tujuannya untuk memberikan kekuatan luar biasa kepada subjek. Kesannya, Zaidi pulih daripada kecederaan parah dengan memiliki kekuatan luar biasa yang sangat hebat. Dunia mula huru hara dengan serangan Ex Boy dan Prof. Mazlan. Kini, dunia memerlukan satu-satunya wira mereka iaitu Zaidi. Zaidi menggelarkan dirinya sebagai Luar Biasa Man, bersedia untuk menentang kejahatan Ex Boy dan Prof. Mazlan.

sebuah karya aksi thriller dramatik: Satu Nama

Aris, seorang pembunuh upahan telah tekad untuk berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan dan ingin memulakan hidup baru. Namun, dia telah dihubungi oleh seorang VIP, Dato' Sameer, untuk membunuh seorang bekas anggota polis, Nasir. Sebagai ganjaran, Aris akan diberikan sejumlah wang bernilai RM500,000 jika berjaya membunuh Nasir. Setelah berfikir masak-masak, akhirnya, Aris bersetuju untuk menerima kontrak daripada Dato' Sameer itu memandangkan sasarannya cuma seorang sahaja iaitu Nasir. Aris tekad untuk berhenti sepenuhnya selepas menamatkan riwayat Nasir. Namun, tugasan terakhirnya tidak semudah yang disangka. Nasir yang berpengalaman sebagai anggota polis merupakan seorang yang sangat bijak dan hebat dalam segala segi. Nasir bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah inteleknya tidak kurang hebatnya. Nasir terlebih dahulu dapat tahu bahawa dirinya menjadi sasaran Dato' Sameer dan Aris. Lalu, Nasir telah membuat banyak perancangan untuk menghadapi kemaraan Aris. Setiap kali Aris cuba untuk membunuh Nasir, setiap kali itulah percubaannya gagal. Aris mula merasakan Nasir bukan calang-calang sasaran. Sebelum ini, Aris tidak pernah menghadapi masalah dalam melakukan tugas-tugas pembunuhan. Namun, untuk membunuh Nasir, Aris merasakan cabarannya sangat hebat. Setelah seminggu berlalu, Dato' Sameer menghubungi Aris dan meluahkan ketidakpuashatiannya terhadap Aris kerana Nasir masih hidup. Aris menceritakan tentang betapa hebat dan liciknya Nasir dan meminta tempoh selama satu minggu lagi untuk Aris menamatkan riwayat Nasir. Dato' Sameer pun bersetuju dan menaikkan jumlah wang ganjaran kepada RM1 juta. Aris pula bersetuju dengan harapan wang yang banyak itu dapat membantu Aris memulakan hidup baru selepas dia selesai melaksanakan tugas terakhirnya nanti. Nasir pula bekerjasama dengan tiga orang bekas anggota komando, yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerila ABC. Nasir mengupah Gerila ABC untuk menangkap Aris hidup-hidup. Maka, bermulalah adegan kejar-mengejar di antara Gerila ABC dan Aris. Dalam masa yang sama, Nasir tekad untuk membunuh Dato' Sameer. Setelah bermacam-macam halangan yang ditempuhi, akhirnya Nasir berjaya menjejaki markas persembunyian Dato' Sameer dan Nasir berjaya membunuh Dato' Sameer. Rupa-rupanya, tembelang Nasir pecah apabila didedahkan bahawa Nasir merupakan seorang pembunuh upahan yang diarahkan oleh majikannya, Tan Sri Rasyid, seorang taikun bisnes untuk menamatkan riwayat Dato' Sameer. Sebagai ganjaran, Nasir akan diberikan sejumlah wang bernilai RM1 juta. Gerila ABC pula akhirnya tumpas di tangan Aris. Aris berjaya mendapatkan maklumat mengenai Nasir sebelum membunuh Gerila ABC itu. Aris cuba untuk menghubungi Dato' Sameer untuk memberitahu perkembangan tugasannya, tetapi Nasir telah menjawab panggilan itu. Nasir memberitahu bahawa dia telah membunuh Dato' Sameer dan tidak mahu Aris memburunya lagi memandangkan itu adalah tugas terakhir Nasir kerana dia ingin berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan. Ternyata Aris dan Nasir memiliki persamaan yang mana kedua-duanya ialah pembunuh upahan yang ingin berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan dan sedang melakukan tugas pembunuhan yang terakhir. Aris merasa tercabar kerana misinya belum selesai sedangkan Nasir berjaya melunaskan misinya. Lalu, Aris tekad untuk menamatkan riwayat Nasir walaupun majikannya, Dato' Sameer sudah tiada lagi. Perasaan ego Aris mula menguasai segalanya. Aris mula menyiasat tentang profil dan sejarah hidup Dato' Sameer. Penyiasatannya dibantu oleh setiausaha merangkap Pembantu Peribadi (PA) Dato' Sameer, Naziha. Naziha banyak memberikan maklumat tentang Dato' Sameer yang akhirnya membawa kepada terbongkarnya satu rahsia silam apabila Aris didapati sebagai satu-satunyanya anak kandung Dato' Sameer dari isteri kedua Dato' Sameer yang dikahwini secara senyap-senyap. Aris juga mendapat tahu bahawa Tan Sri Rasyid adalah musuh ketat Dato' Sameer melalui sebuah IPAD milik Dato' Sameer yang mengandungi gambar-gambar Tan Sri Rasyid dan Nasir sedang duduk berbincang di sebuah restoran. Kini, Aris tekad untuk membunuh Nasir dan Tan Sri Rasyid untuk membela kematian bapanya, Dato' Sameer. Dalam masa yang sama, Nasir tahu tentang penyiasatan Aris itu dan telah melaksanakan rancangannya yang seterusnya iaitu menculik Naziha. Kini, Aris perlu berjuang untuk menyelamatkan Naziha dari cengkaman Nasir dan Tan Sri Rasyid sekaligus melunaskan dendam untuk bapanya.

Rabu, 18 Januari 2012

karya aksi terbaik: VIP & Sekuriti

Sebuah agensi sekuriti dan keselamatan yang dikenali sebagai Agensi Sekuriti Persekutuan (ASP) yang diketuai oleh Tuan Aziz sering terlibat dalam tugas-tugas untuk mengawal keselamatan ramai orang-orang penting (VIP) dalam negara termasuklah yang melibatkan ahli politik, ahli perniagaan, dan orang-orang kenamaan. ASP dianggotai oleh 3 orang pemuda yang menjadi orang kepercayaan Tuan Aziz iaitu Nazrey, Zul, dan Araz. Setiap minggu, Nazrey, Zul, dan Araz akan dikerahkan untuk bertugas sebagai pengawal peribadi sekaligus menjaga keselamatan VIP-VIP yang ditentukan untuk mereka oleh Tuan Aziz. Dalam masa yang sama, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai The Target yang menghimpunkan ramai pembunuh upahan mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk membunuh seorang VIP pada setiap minggu bergantung kepada senarai sasaran yang ditentukan oleh ketua kumpulan tersebut yang penuh misteri yang dikenali sebagai Encik T. Antara pembunuh upahan yang menganggotai The Target ialah Adi, Huz, dan Qash yang masing-masing mempunyai pekerjaan mereka yang tersendiri. Rupa-rupanya ASP bukan sekadar agensi keselamatan biasa tetapi mempunyai misi yang jauh lebih penting iaitu melindungi VIP-VIP ini dari dibunuh oleh The Target. Tuan Aziz sememangnya tahu tentang kewujudan The Target dan senarai sasaran mereka itu. Lalu, bermulalah persaingan antara ASP dengan The Target ini yang mana VIP-VIP ini menjadi sasaran mereka. Nazrey, Zul, dan Araz terpaksa berhadapan dengan musuh mereka yang utama iaitu Adi, Huz, dan Qash. Dan bagaimanakah Tuan Aziz menghadapi kemaraan musuh utamanya iaitu Encik T?