Khamis, 28 Mei 2009

samarinda: Dokumen

Norman ialah seorang pemuda yang dibesarkan di rumah kebajikan. Dia dianugerahkan kepintaran sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Liverpool, United Kingdom. Sememangnya, Norman tidak pernah mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kerana dia tidak tahu pun asal-usulnya. Dengan kelulusan yang ada, dia mencuba nasib memohon kerja di sebuah syarikat pembekal alatan kejuruteraan terbesar di Malaysia, iaitu Empayar Holdings yang diterajui Datuk Azahari. Nasibnya baik apabila dia diterima bekerja sebagai jurutera syarikat itu. Sikap Norman yang pendiam, jujur dan baik hati ditambah dengan kepintarannya menyebabkan Azimah, anak perempuan tunggal Datuk Azahari telah jatuh cinta pada Norman. Norman juga berperasaan yang sama. Mereka saling jatuh cinta. Walaupun Norman sering membantu mendapatkan tender untuk Empayar Holdings dan menaikkan nama syarikat itu, Datuk Azahari tidak berkenan dengan Norman kerana Norman tidak mempunyai asal-usul. Datin Azharina, ibu Azimah pula berkenan kalau Norman dijadikan menantunya. Datuk Azahari menyuruh penyiasat peribadinya, Roy untuk menyiasat latar belakang Norman.

Kejayaan Empayar Holdings menyebabkan Tan Sri Zaman, pengarah urusan Zaman Corp. berdendam dan ingin menjatuhkan musuh ketatnya, Datuk Azahari. Tan Sri Zaman meminta bantuan penyiasat peribadinya, Joe untuk mencuri sebuah dokumen milik Empayar Holdings yang mengandungi segala maklumat tentang syarikat itu termasuk hal ehwal kewangan dan projek-projek besar. Dengan adanya dokumen itu, Zaman Corp. dapat menguasai segala selok-belok Empayar Holdings sekaligus merampas syarikat itu. Akhirnya, Joe berjaya mendapatkan dokumen penting itu. Ekoran kehilangan dokumen itu, Datuk Azahari menuduh Normanlah yang mencuri dokumen itu. Norman menafikannya. Akhirnya, Datuk Azahari memecat Norman. Norman pula terus menghilang membawa diri. Azimah yang kecewa dengan tindakan ayahnya pula berusaha mencari Norman.

Roy berjaya mendapatkan maklumat tentang Norman. Norman sebenarnya anak Datuk Hakim yang terkorban dalam satu kemalangan 30 tahun yang lepas. Ketika kemalangan itu berlaku, Norman masih dalam kandungan ibunya, Datin Normala. Datin Normala pula meninggal dunia sejurus selepas melahirkan Norman. Datuk Azahari tak tahu pun bahawa Datuk Hakim mempunyai anak hasil perkahwinannya dengan Datin Normala. Dia tidak sangka bahawa Norman itu anak Datuk Hakim. Datuk Azahari mula diselubungi kebimbangan.

Sementara itu, Joe gagal dihubungi oleh Tan Sri Zaman. Joe sudah menghilangkan diri bersama-sama dokumen berharga itu. Tan Sri Zaman mengarahkan orang-orangnya untuk memburu Joe, mendapatkan dokumen itu, dan membunuh Joe.

Norman telah cuba dibunuh oleh seseorang pembunuh misteri. Mujurlah Norman diselamatkan oleh seorang lelaki tua manakala pembunuh misteri itu sempat melarikan diri. Lelaki tua itu membawa Norman ke markasnya. Lelaki tua itu ialah Aziz, bekas pekerja Datuk Azahari dan juga sahabat baik Datuk Hakim. Aziz menceritakan segalanya. Sebenarnya, dia sering mengawasi keselamatan Norman. Dia tahu Norman ialah pewaris tunggal Datuk Hakim, pengasas Empayar Holdings. Kemalangan 30 tahun lepas ialah plot pembunuhan yang didalangi oleh rakan kongsi Datuk Hakim sendiri iaitu Datuk Azahari. Datuk Azahari telah merampas saham Datuk Hakim dan segala maklumat itu ada dalam sebuah dokumen yang kini di tangan Joe. Dokumen itu boleh dijadikan bukti untuk mendakwa Datuk Azahari dan membela hak Norman sebagai pewaris Empayar Holdings yang sebenar. Datuk Azahari hanyalah perampas Empayar Holdings. Kini, Aziz ialah ketua mafia yang berpengaruh dan berazam untuk membunuh Datuk Azahari demi membalas dendam atas kematian sahabat baiknya iaitu Datuk Hakim. Aziz berjaya mengupah Joe untuk mencuri dokumen itu. Aziz meminta Norman menyokong perjuangannya. Aziz berjanji untuk memastikan Empayar Holdings jatuh ke tangan Norman semula. Norman pula kesal dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Azahari. Dalam masa yang sama, dia kasihankan nasib Azimah, wanita yang dicintainya.

Sebenarnya, pembunuh misteri itu ialah Roy. Datuk Azahari terpaksa membunuh Norman untuk menutup kejahatannya. Apakah kesudahan cerita ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan