Khamis, 28 Mei 2009

karya aksi samurai dari Jepun: Samurai No. 7

Ryu Watanabe ialah anggota ke-7 Samurai Naga Emas. Dia diburu oleh tentera kerajaan kerana disyaki membunuh Pegawai Ishiro, pemegang amanah Maharaja. Dalam pelariannya, dia berdepan dengan salah seorang kumpulan Ninja Jalanan yang anti-samurai bernama Yamazaki. Dalam masa yang sama, dia jatuh cinta pada anak gadis Pegawai Ishiro bernama Shinzen. Siapakah sebenarnya yang telah membunuh Pegawai Ishiro? Saksikan pengembaraan Ryu Watanabe dan Shinzen serta konflik tiga segi antara samurai, ninja, dan tentera kerajaan.

samarinda: Dokumen

Norman ialah seorang pemuda yang dibesarkan di rumah kebajikan. Dia dianugerahkan kepintaran sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Liverpool, United Kingdom. Sememangnya, Norman tidak pernah mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kerana dia tidak tahu pun asal-usulnya. Dengan kelulusan yang ada, dia mencuba nasib memohon kerja di sebuah syarikat pembekal alatan kejuruteraan terbesar di Malaysia, iaitu Empayar Holdings yang diterajui Datuk Azahari. Nasibnya baik apabila dia diterima bekerja sebagai jurutera syarikat itu. Sikap Norman yang pendiam, jujur dan baik hati ditambah dengan kepintarannya menyebabkan Azimah, anak perempuan tunggal Datuk Azahari telah jatuh cinta pada Norman. Norman juga berperasaan yang sama. Mereka saling jatuh cinta. Walaupun Norman sering membantu mendapatkan tender untuk Empayar Holdings dan menaikkan nama syarikat itu, Datuk Azahari tidak berkenan dengan Norman kerana Norman tidak mempunyai asal-usul. Datin Azharina, ibu Azimah pula berkenan kalau Norman dijadikan menantunya. Datuk Azahari menyuruh penyiasat peribadinya, Roy untuk menyiasat latar belakang Norman.

Kejayaan Empayar Holdings menyebabkan Tan Sri Zaman, pengarah urusan Zaman Corp. berdendam dan ingin menjatuhkan musuh ketatnya, Datuk Azahari. Tan Sri Zaman meminta bantuan penyiasat peribadinya, Joe untuk mencuri sebuah dokumen milik Empayar Holdings yang mengandungi segala maklumat tentang syarikat itu termasuk hal ehwal kewangan dan projek-projek besar. Dengan adanya dokumen itu, Zaman Corp. dapat menguasai segala selok-belok Empayar Holdings sekaligus merampas syarikat itu. Akhirnya, Joe berjaya mendapatkan dokumen penting itu. Ekoran kehilangan dokumen itu, Datuk Azahari menuduh Normanlah yang mencuri dokumen itu. Norman menafikannya. Akhirnya, Datuk Azahari memecat Norman. Norman pula terus menghilang membawa diri. Azimah yang kecewa dengan tindakan ayahnya pula berusaha mencari Norman.

Roy berjaya mendapatkan maklumat tentang Norman. Norman sebenarnya anak Datuk Hakim yang terkorban dalam satu kemalangan 30 tahun yang lepas. Ketika kemalangan itu berlaku, Norman masih dalam kandungan ibunya, Datin Normala. Datin Normala pula meninggal dunia sejurus selepas melahirkan Norman. Datuk Azahari tak tahu pun bahawa Datuk Hakim mempunyai anak hasil perkahwinannya dengan Datin Normala. Dia tidak sangka bahawa Norman itu anak Datuk Hakim. Datuk Azahari mula diselubungi kebimbangan.

Sementara itu, Joe gagal dihubungi oleh Tan Sri Zaman. Joe sudah menghilangkan diri bersama-sama dokumen berharga itu. Tan Sri Zaman mengarahkan orang-orangnya untuk memburu Joe, mendapatkan dokumen itu, dan membunuh Joe.

Norman telah cuba dibunuh oleh seseorang pembunuh misteri. Mujurlah Norman diselamatkan oleh seorang lelaki tua manakala pembunuh misteri itu sempat melarikan diri. Lelaki tua itu membawa Norman ke markasnya. Lelaki tua itu ialah Aziz, bekas pekerja Datuk Azahari dan juga sahabat baik Datuk Hakim. Aziz menceritakan segalanya. Sebenarnya, dia sering mengawasi keselamatan Norman. Dia tahu Norman ialah pewaris tunggal Datuk Hakim, pengasas Empayar Holdings. Kemalangan 30 tahun lepas ialah plot pembunuhan yang didalangi oleh rakan kongsi Datuk Hakim sendiri iaitu Datuk Azahari. Datuk Azahari telah merampas saham Datuk Hakim dan segala maklumat itu ada dalam sebuah dokumen yang kini di tangan Joe. Dokumen itu boleh dijadikan bukti untuk mendakwa Datuk Azahari dan membela hak Norman sebagai pewaris Empayar Holdings yang sebenar. Datuk Azahari hanyalah perampas Empayar Holdings. Kini, Aziz ialah ketua mafia yang berpengaruh dan berazam untuk membunuh Datuk Azahari demi membalas dendam atas kematian sahabat baiknya iaitu Datuk Hakim. Aziz berjaya mengupah Joe untuk mencuri dokumen itu. Aziz meminta Norman menyokong perjuangannya. Aziz berjanji untuk memastikan Empayar Holdings jatuh ke tangan Norman semula. Norman pula kesal dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Azahari. Dalam masa yang sama, dia kasihankan nasib Azimah, wanita yang dicintainya.

Sebenarnya, pembunuh misteri itu ialah Roy. Datuk Azahari terpaksa membunuh Norman untuk menutup kejahatannya. Apakah kesudahan cerita ini?

karya cinta dengan thriller: Jauh Tapi Dekat

Hariz & Aina saling mencintai dan telahpun bertunang. Mereka merancang untuk mengambil foto gambar mereka menggayakan gambar pengantin. Seorang jurugambar yang bernama Sufi telah diupah untuk mengambil gambar mereka. Dalam diam-diam, Sufi jatuh cinta pandang pertama pada Aina setelah tertarik pada kecantikan Aina. Hariz dan Aina tidak mengesyaki apa-apa. Malah, mereka memuji kualiti gambar yang diambil oleh Sufi. Sufi mula obses akan Aina. Dia kerap mengekori dan memerhatikan Aina serta mengambil gambar-gambar Aina untuk menjadi tatapannya. Malah, Sufi kerap berangan bahawa dialah yang menjadi kekasih dan pasangan hidup Aina. Keobsesannya semakin menjadi-jadi apabila Sufi kerap menganggu kehidupan Aina. Bagaimanakah rancangan Sufi untuk merampas cinta Aina daripada Hariz?

karya aksi penuh misteri: Mysterio

Malique baru dibebaskan dari penjara atas jenayah merompak ketika bersama dengan kumpulan Morocian. Selepas dibebaskan, Malique yang dihantui rasa bersalah ingin menebus kesalahannya dengan membanteras jenayah di bandar sekelilingnya. Dia menggunakan identiti Mysterio, seorang wira bertopeng dan bersenjata api, dalam usahanya untuk membanteras jenayah. Pihak polis diketuai ASP Sharif pula menganggap Mysterio sebagai penjenayah misteri. Mysterio berdepan dengan keganasan yang didalangi oleh kumpulan Morocian pimpinan Rashidi. Dalam masa yang sama, Malique juga berdepan dengan seorang wartawan wanita bernama Yasmin yang berusaha untuk mencungkil identiti dan rahsia Malique. Dua orang pegawai polis, Cif Insp. Badrul dan Insp. Razis pula turut menyertai misi Yasmin dan dalam masa yang sama mereka menjalankan tugasan daripada ASP Sharif untuk menangkap Mysterio. Adakah Mysterio mampu berdepan dengan semua ini?

karya aksi sains fiksyen berunsurkan kepahlawanan silam: Pahlawan Masa Silam

Prof. Zan berjaya mencipta mesin masa secara tidak sengaja. Dia berniat untuk mengubah sejarah dengan cara membawa seramai mungkin pahlawan masa silam ke masa hadapan. Akhirnya, dia berjaya membawa 8 orang pahlawan masa silam dari seluruh pelosok dunia ke masa hadapan. Namun, masa depan kini bertukar menjadi huru-hara apabila pahlawan masa silam ini saling bertelagah dan bermusuhan dan masing-masing ingin muncul sebagai yang terkuat. Bagaimanakah Prof. Zan dapat mengatasinya?

Berikut adalah senarai 8 orang pahlawan masa silam yang dibawa oleh Prof. Zan ke masa hadapan:

1. Laksamana Hang Tuah – Pahlawan Kesultanan Melayu Melaka yang terhandal.
2. Hang Jebat – Saudara Laksamana Hang Tuah
3. Badang – Hulubalang terhandal Kerajaan Singapura
4. Asoka – Pemerintah Tamadun India yang disegani. Juga penyebar agama Buddha di India.
5. Maharaja Han Wu Ti – Pemerintah Dinasti Han di China yang juga digelar Maharaja Tentera
6. Alfonso de Albuqerque – Panglima tentera Portugis yang telah menjajah Melaka.
7. Salahuddin Al-Ayyubi – Pemimpin tentera Islam yang juga penakluk Baitulmaqdis.
8. Achilles – Penakluk Troy

karya aksi pergaduhan: Belasah

Zack ialah bekas tentera komando yang baru dibebaskan dari penjara tentera. Zack berjumpa dengan sepupunya, Chai. Chai mengajak Zack menyertai pertandingan Belasah, iaitu kick-boxing yang menghalalkan pembunuhan dan tiada peraturan serta penuh dengan keganasan. Chai bertindak sebagai pengurus peserta dan bersedia untuk menjadi pengurus kepada Zack. Zack berminat kerana pemenang pertandingan diberikan wang yang lumayan. Pertandingan ini juga menjadi medan perjudian beberapa VIP yang bertindak sebagai penaja dan dikawal ketat oleh beberapa orang pegawai polis korupsi. Malah pertandingan ini diadakan di sebuah tempat yang tertutup. Sejak Zack menyertai Belasah, Zack digeruni oleh ramai peserta lain. Satu hari, Chai ditemui mati dibunuh. Zack sedar yang kematian Chai tidak akan mendapat pembelaaan yang sewajarnya. Berdasarkan saksi yang Zack temui, Zack mengenalpasti suspek-suspek yang terlibat dalam pembunuhan sepupunya itu. Akhirnya, Zack tampil membalas dendam dan menjadikan gelanggang pertarungan pertandingan Belasah sebagai medan untuknya membalas dendam. Siapakah sebenarnya yang menjadi dalang pembunuhan Chai?

karya aksi komedi persahabatan: Braderku Seorang Polis

Insp. Badar telah ditugaskan untuk menyiasat sekumpulan mafia yang aktif melakukan penyeludupan senjata api di perairan Teluk Ramunia, Johor. Malangnya, Insp. Badar gagal menemui apa-apa maklumat sehingga dia diminta untuk tidak terlibat dalam penyiasatan ini. Dia tidak berpuas hati dan berazam untuk membongkar sendiri jenayah ini. Dalam masa yang sama, dia terjumpa dengan seorang samseng yang paling berpengalaman dan berpengaruh di Kuala Lumpur. Samseng ini bernama samaran Zef. Zef pernah berurusan dengan mafia yang bergelar ‘Lethal Weapon’ (LW) ketika ingin membeli senjata api. Malah, Zef kini berdendam dengan LW kerana orang kanannya terbunuh ketika urusan membeli senjata api itu dilakukan. Insp. Badar menyamar sebagai penganggur dan ingin menyertai Zef untuk memburu LW. Zef pula tahu bahawa Insp. Badar itu seorang polis. Satu perjanjian dibuat dengan syarat polis tidak menangkap Zef dan konco-konconya. Sebagai balasan, Zef akan bantu Insp. Badar yang dipanggilnya Brader untuk menumpaskan LW memandangkan Zef mempunyai ramai kenalan di selatan tanah air. LW sebenarnya didalangi oleh seorang ahli perniagaan berpengaruh bernama Datuk Arman. Datuk Arman yang memiliki syarikat perkapalan di Teluk Ramunia berselindung di sebalik perniagaannya dengan menyeludup senjata api. Datuk Arman dibantu oleh orang kanannya yang bernama Romeo. Berjayakah mereka membongkar jenayah kumpulan LW ini?

Rabu, 27 Mei 2009

karya aksi sains fiksyen: Super Fighter (SF)

Zack (no.1) ialah seorang motivator di sebuah syarikat motivasi. Taji (no.2) ialah seorang penganggur yang suka memperdayakan wanita. Saip (no.3) ialah seorang guru agama yang pendiam. Andy (no.4) pula ialah seorang doktor yang telah membuka klinik sendiri. Masing-masing telah terpilih sebagai mutan SF hasil eksperimen sulit Prof. ID yang ditaja oleh seorang wanita kaya yang mempercayai teorinya yang bernama Maria. Prof. ID menyedari bandaraya JB tak selamat kerana telah didatangi oleh makhluk asing yang jahat pimpinan Captain Kays. Bermulalah misi SF untuk menyelamatkan dunia. Setiap ahli SF dinamakan mengikut nombor dan diberikan kebebasan hidup seperti manusia normal tetapi harus menyembunyikan kuasa mereka melainkan terpaksa. Dalam mereka memburu Kays dan konco-konconya iaitu Nazy & Shaky, mereka banyak membantu polis dalam membanteras jenayah. Kehadiran mereka menimbulkan kontroversi dan spekulasi. Ekoran pembunuhan orang awam yang dilakukan oleh konco-konco Kays, SF dilabel sebagai penjenayah. Tambah merumitkan apabila Zero (Zaki), bekas pembantu Prof. ID yang disangka mati dalam cubaan eksperimen muncul sebagai mutan yang tak stabil. Mampukah SF mengharungi semua dugaan ini?

karya tentang dunia perjudian: Pertaruhan Terakhir

Ednel (Ed) ialah pakar judi yang baru dibebaskan dari penjara atas jenayah membunuh. Ed berazam tidak mahu berjudi dan ingin memulakan hidup baru. Namun, isterinya, Nia telah diculik oleh musuh ketatnya, Bon. Bon yang dahulu kalah dalam permainan judi di tangan Ed kini ingin berjudi semula. Bon ingin Nia dipertaruhkan dalam permainan judi kali ini. Jika Ed kalah, Nia akan dibunuh. Ed terpaksa berjudi semula untuk menyelamatkan Nia. Dalam masa yang sama, pertaruhan ini turut membongkar rahsia silam Ed dan kejadian pembunuhan lampau.

karya tentang dunia pertahanan dan babak peperangan: D.U.T (Depend Us Team)

Pada tahun 2060 M, sebuah negara yang amat kuat dari segi pertahanannya, Krezo telah menempatkan sebuah agensi pertahanan terbaik dunia, D.U.T. Sebuah kuasa negara yang diperintah oleh orang Arab, Afran telah meminta bantuan D.U.T untuk melindunginya daripada serangan kuasa barat iaitu XY. Alasannya, XY ingin menyerang Afran kerana salah seorang tentera XY yang bertugas di Afran telah terbunuh di Afran. XY menuduh pembunuhan itu sebagai faktor utama kerajaan Afran ingin mencetuskan peperangan. D.U.T pada mulanya menyokong Afran. Namun, tanpa pengetahuan Afran, D.U.T dapat mengetahui konspirasi pakatan Afran dan XY untuk menyerang Krezo sebenarnya. D.U.T yang bijak dalam bab pertahanan bersiap sedia untuk mempertahankan Krezo daripada serangan dua kuasa besar ini. Malah, Afran dan XY tidak tahu pun perancangan strategi D.U.T. Siapakah yang akan menang dalam pertempuran ini?

Anggota D.U.T (Depend Us Team):
1. Roby – pakar maklumat dan perisik handalan
2. Azrey – pakar senjata dan bahan letupan
3. Andy – pakar komputer, satelit, dan telekomunikasi
4. Fozy – pakar pengangkutan
5. Jerry – pakar kimia
6. Gaffy – pakar perancang peperangan
7. Danny – pakar geografi, lokasi, dan kawasan

Watak tambahan:
1. Jeneral Omar - ketua panglima tentera Afran
2. Jeneral Richard Sebastian - ketua panglima tentera XY
3. Jeneral Zakary - penasihat ketenteraan dan pertahanan Krezo & Penasihat D.U.T

Selasa, 26 Mei 2009

sebuah karya terbaikku: Danau Rindu

Pada tahun 1990, Izzat dan Fasha ialah pasangan kekasih yang mengabaikan agama dan pernah terlanjur beberapa kali. Mereka lebih suka bercinta dalam hubungan yang haram tanpa ikatan nikah yang sah. Satu hari, Izzat mengalami masalah kewangan. Fasha pula berkenalan dengan Roy, anak VIP dan meninggalkan Izzat. Sejak hari itu, Izzat mula menjadi tidak terurus dan dihimpit pelbagai masalah. Selama setahun dia berkeadaan begitu. Selepas setahun, dia bermimpi yang dia perlu pergi ke sebuah masjid. Di sana, dia bertemu dengan Imam Hanafi. Dia mula mendekati agama dan berjaya kembali ke pangkal jalan hasil bimbingan Imam Hanafi. Selama 5 tahun, dia menjadi bilal di sana.

Pada tahun 1997, Raudhah anak gadis Imam Hanafi telah pulang dari Madinah setelah tamat pengajian. Izzat jatuh cinta pandang pertama setelah melihat mata Raudhah yang cantik dan penampilan Raudhah yang berpurdah. Mereka saling mencintai tapi tidak ada yang meluahkan perasaan itu. Imam Hanafi sentiasa ada untuk mengawasi pergaulan anaknya dengan Izzat.

Pada tahun 2002, pada satu hari, Imam Hanafi ditemui mati dibunuh di masjid. Tragedi ini menyebabkan Raudhah sangat sedih dan trauma. Kes ini dikaitkan dengan Izzat tetapi tiada bukti untuk menuduh Izzat. Raudhah pula telah membawa diri ke Madinah. Izzat pula bertemu dengan Fasha yang kini menjadi pengedar dadah. Roy merupakan ketua sindiket dadah terbesar di situ. Fasha sebenarnya sudah putus dengan Roy apabila Roy bercinta dengan gadis lain. Disebabkan bebanan hutang arwah ayah Fasha yang sering menagih dadah dan berjudi, Fasha terpaksa bekerja sebagai pengedar dadah untuk melangsaikan hutang arwah ayahnya itu. Fasha sebenarnya telah menjadi saksi penting kes pembunuhan Imam Hanafi tanpa pengetahuan Roy. Pada malam itu, Fasha mengekori Roy sehingga sampai ke sebuah masjid. Imam Hanafi telah terjumpa lambakan dadah yang disorokkan di stor masjid itu. Roy membunuh Imam Hanafi demi menutup rahsianya. Roy juga membawa keluar semua dadah itu. Stor masjid itu dijadikan pusat penyimpanan dadah sementara sebelum diedarkan di kawasan itu. Tanpa mengungkit kisah silam, Izzat sudi membantu Fasha. Dalam perjalanan mereka untuk melaporkan kepada polis, mereka diserang oleh orang-orang Roy. Fasha terbunuh manakala Izzat pula hilang ingatan. Izzat dan Raudhah dinikahkan dengan segera supaya Raudhah dapat menjaga Izzat.

Pada tahun 2008, Izzat pulih daripada hilang ingatan. Izzat tekad untuk memburu Roy dan konco-konconya demi membalas dendam untuk dua orang yang disayanginya iaitu arwah Imam Hanafi dan arwah Fasha.

sebuah karya aksi pengembaraan: AKSARA

Seorang pakar bahasa, Safri telah terjumpa sebuah kitab Sanskrit yang berjudul Thampali Veda. Hasil tafsirannya membawa kepada penemuan peta beserta klu untuk mendapatkan harta karun yang dipercayai milik Pendeta Rajesh Veda yang merupakan penulis kitab itu dan juga pemerintah terawal Tamadun Indus. Kajian Safri telah diketahui oleh Kolonel Rais, seorang pegawai tentera yang tamak. Maka, Rais dan tenteranya mengikuti pencarian Safri untuk ke tempat harta karun itu. Jika Safri ingkar, isteri dan anaknya yang ditawan akan dibunuh. Pencarian mereka di sekitar kepulauan Maldives. Seorang melayu Islam yang menetap di sana, Dali telah menyelamatkan Safri dan sudi membantunya. Tetapi, di tengah perjalanan, Dali telah berubah watak. Dia sebenarnya ketua lanun yang sudah lama mengharapkan harta karun itu. Dia telah terjumpa dulu kitab itu. Kerana tidak faham bahasa Sanskrit, dia telah menyuruh pembantunya, Said untuk membuang kitab itu di bumi India. Said pula sudah lama ingin meninggalkan kerja lanun dan ingin menjadi orang baik. Dia pula yang ingin membantu Safri. Safri pula salah sangka dan menganggap Said sebagai musuh. Said yang telah membelot dan diburu oleh Dali telah mengikut Safri dari jauh. Di pergunungan Pali di tengah-tengah kepulauan Maldives, tentera Rais sudah berkawal. Mampukah Safri berdepan dengan mereka? Siapakah pula yang akan mendapat harta karun itu?

sebuah karya yang penuh keinsafan dan kesyahduan: Jangan Lihat Kopiah di Kepalaku

Pada tahun 2009M/1430H: Ustaz Hj. Razak, 49 tahun sedang tekun memberi ceramah agama kepada sebahagian penduduk di taman perumahan Taman Villa di bandar raya JB. Ramai yang khusyuk mendengarnya. Setelah selesai memberi ceramah, salah seorang pendengar ceramah itu, Datuk Amri, 39 tahun menjemput Razak ke kediamannya. Rupa-rupanya Amri tahu rahsia silam Razak. Amri merupakan peminat band rock Rosta yang vokalisnya dikenali sebagai Rezza. Razaklah Rezza itu ketika era 90-an. Amri ingin mengetahui perjalanan hidup dari seseorang yang bergelar Rezza hinggalah berhijrah menjadi sealim Ustaz Hj. Razak seperti sekarang. Razak akui yang Rezza itu nama samarannya kerana sebagai artis ketika itu, nama itu dilihat lebih komersial dan popular dari nama Razak. Maka bermulalah cerita Razak...

Rezza merupakan vokalis yang bersuara serak-serak basah yang keras. Namun, suaranya yang unik itu menyebabkan nama Rosta diangkat sebagai band rock yang sangat terkenal dan digeruni oleh band-band rock yang lain. Lagu-lagu Rosta memang sedap kerana mendapat sentuhan komposer berbakat selain ahli-ahli Rosta juga terlibat dalam mencipta lagu. Lagu-lagu Rosta sering mengungguli carta top 10 di radio dan TV. Rosta turut berjaya menjadi johan dalam Battle of The Bands peringkat kebangsaan selain berjaya menyandang johan dalam Anugerah Juara Lagu 90. Rosta turut berjaya menghasilkan puluhan album yang sangat laris dalam jualan di pasaran. Begitulah Rosta ketika zaman kemuncak kegemilangannya. Sehinggakan banyak pihak swasta berminat untuk menaja konsert persembahan yang dimainkan Rosta. Rumah ahli-ahli Rosta yang disewa tidak lagi diduduki apabila ada pihak yang menghadiahkan sebuah rumah banglo siap dengan studio jamming untuk mereka diami. Hidup ahli-ahli Rosta termasuk Rezza begitu mewah sehingga mereka dilabel sebagai artis berkumpulan paling mewah di Malaysia.

Pada tahun 1995, Rezza telah ditangkap kerana didapati mabuk akibat minum arak di sebuah kelab malam. Malah, dia juga terlibat dalam pergaduhan dengan beberapa orang samseng dan juga mempunyai skandal dengan beberapa orang wanita bergelar ‘Datin’. Rezza dipenjara selama setahun atas kesalahan sengaja mencederakan orang lain. Prestasi Rossa mula merosot akibat berita negatif tentang Rezza. Malah, ketiadaan Rezza dan masalah disiplin Rezza menjadi punca hadiah banglo mewah mereka ditarik balik dan pihak penaja tidak berminat untuk menaja mereka lagi. Kemunculan band-band rock yang lain menambahkan lagi persaingan mereka. Selepas setahun dipenjarakan, Rezza yang hilang haluan kerana tertekan dengan rakan-rakan Rosta yang lain mula menagih dadah. Akibatnya, Rezza dipenjara selama 4 tahun. Kesannya, ahli-ahli Rosta berpecah dan sekaligus Rosta dibubarkan sepenuhnya.

Sepanjang Rezza di penjara, Rezza tidak lagi menggunakan nama Rezza kerana dia sedar nama itu membawa imej negatif dalam dirinya. Dia menggunakan nama asalnya iaitu Razak untuk mendalami ilmu agama Islam yang selama ini diabaikan. Atas nasihat Imam Yunus, pegawai hal ehwal agama Islam di Penjara Sg. Buloh, Razak bertaubat nasuha dan benar-benar menyedari akan kesilapannya.

Pada tahun 2000, Razak dibebaskan dari penjara. Selepas dibebaskan, Razak mengikuti kursus-kursus agama Islam untuk mendalami lagi pengetahuan agamanya. Sejak hari itu, Razak gemar berkopiah. Razak akhirnya diterima untuk bekerja di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pembantu am hal ehwal sosial. Akhirnya, dia bergelar Ustaz Razak selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam. Sejak bergelar ustaz, Razak bergerak sebagai penceramah bebas. Imej Razak yang bercelak tebal dan berambut pendek serta berkopiah menyukarkan orang ramai mengecam bahawa dialah vokalis Rosta yang popular suatu masa dahulu. JAIS telah menaja beberapa orang kakitangannya yang cemerlang untuk pergi menunaikan fardu haji di Makkah. Ustaz Razak juga terpilih dalam rombongan itu. Ustaz Razak bersyukur kepada Allah. Kini, dia bergelar Ustaz Hj. Razak. Tetapi, dia masih bujang lagi.

Satu-satunya adik perempuan Datuk Amri, Athirah khusyuk mendengar cerita Ustaz Hj. Razak itu. Athirah kagum dengan penghijrahan besar yang dilakukan oleh Ustaz Hj. Razak. Akhirnya, Athirah sendiri yang melamar Ustaz Hj. Razak setelah jatuh cinta pandang pertama. Ustaz Hj. Razak tidak menolak lamaran itu. Mereka akhirnya bernikah dengan berwalikan Datuk Amri sendiri dalam suasana yang sederhana. Ustaz Hj. Razak turut menyanyikan lagu-lagu rock ketika dia dengan Rosta dahulu.

karya aksi thriller paling ganas: My Hobby As A Killer (hobiku sebagai pembunuh)

Uzair seorang pemuda yang bekerja di restoran makanan halal di ibu kota. Dia sangat disenangi oleh majikannya, En. Shahab kerana kerajinannya. Dia ada kekasih yang bernama Nisa. Dia dikenali sebagai ustaz muda oleh pelanggan dan rakan sekerjanya kerana gemar memakai kopiah dan nampak alim. Di sebalik imej alim itu, dia sebenarnya mempunyai hobi yang ganas iaitu membunuh. Dalam sehari, dia mesti kena membunuh sekurang-kurangnya seorang manusia. Baginya, membunuh memberi kepuasannya yang tersendiri. Dia telah meminta pakar pembuat topeng, Mr. Boon untuk mencipta topeng manusia ‘betul’ dan menggelarkan dirinya Radon ketika membunuh. Mangsa dibunuh dengan kejam tanpa meninggalkan bukti. Polis sukar mengenalpasti siapa Radon kerana wajah Radon tidak wujud. Keganasan Uzair semakin menjadi. Uzair dan Nisa akan bertunang dan bernikah. Satu hari, adik Nisa, Najib telah pergi ke rumah Uzair untuk merompak. Setelah diselongkar, Najib menemui topeng Radon. Tahulah Najib bahawa Uzairlah Radon itu. Najib mengambil topeng itu dan memberitahu rahsia itu pada Nisa dan keluarga. Nisa tidak percaya kerana Uzair budak baik. Malah, Nisa menuduh Najiblah Radon. Najib hampa lalu lari dari rumah dengan membawa topeng itu. Uzair pula terkejut kerana tidak ada topeng itu. Uzair yang terserempak dengan Najib telah membunuh Najib dan mengambil topeng itu. Setelah mayat Najib ditemui, polis mengesyaki ia perbuatan Radon. Nisa pula terasa kebenaran kata-kata adiknya. Nisa meminta penjelasan Uzair tetapi Uzair menafikannya. Akhirnya, Nisa memutuskan perhubungan mereka serta merta. Uzair sangat kecewa dan berdendam dengan Nisa. Nisa bekerjasama dengan Insp. Akmal untuk menyiasat Uzair. Uzair telah merogol dan membunuh ibu Nisa dan merakamkan perbuatannya itu. Uzair melarikan Nisa yang telah dipengsankan ke sebuah hutan. Ketika ini, dia bertopengkan Radon. Sebelum ke hutan, Mr. Boon dibunuh terlebih dahulu. Pengesan yang ada pada Nisa membolehkan Insp. Akmal dan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) dan sharp-shooter mengekori Radon ke hutan itu. Di hutan itu pula, Nisa sudah dibogelkan. Radon menunjukkan video rakaman perlakuannya dengan ibu Nisa kepada Nisa. Kemudian, Radon membuka topengnya. Sah memang Uzairlah Radon itu. Alangkah terkejutnya Nisa. Nisa menyuruh Uzair bertaubat. Uzair berkata putus cinta menjadi faktor dia lebih seronok untuk membunuh. Uzair ingin merogol Nisa. Tetapi, dia terdengar bunyi orang berjalan. Lantas, Nisa segera ditembak di kepala. Skuad polis bergerak pantas dan melepaskan berdas-das tembakan. Uzair bersembunyi. Pertempuran berlaku...

karya aksi thriller yang meruntun emosi: Hanya Maut Penamat Segalanya

Akhil sangat sedih apabila isterinya, Maryam dibunuh dengan ditembak mati. Dia bertambah kecewa apabila polis menutup kes pembunuhan isterinya. Akhil bertekad untuk menjejaki pembunuh isterinya dengan menggunakan identiti A. Hasil siasatannya menemukannya dengan beberapa suspek iaitu sekumpulan pelajar samseng diketuai Dray, sekumpulan mafia yang ganas diketuai Bradon, dan sebuah kumpulan ajaran sesat yang radikal diketuai Imam Samudera. A memburu mereka dan membunuh mereka satu-persatu tanpa belas kasihan. Namun setelah tamat pembalasan dendamnya, dia mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Ta. Ta ingin berjumpa dengan Akhil untuk memberitahu maklumat penting tentang pembunuhan isterinya, di sebuah perkampungan nelayan di Teluk Ramunia. Ta mengaku yang dialah yang membunuh Maryam kerana diarahkan oleh beberapa orang pegawai polis yang korupsi. Maryam sebenarnya saksi penting yang melihat beberapa pegawai polis korupsi itu menerima rasuah daripada seorang VIP untuk membebaskan anak VIP itu daripada ditahan kerana mengedar dadah. Maryam berjaya merakamkan perbuatan itu. Tetapi, rakaman itu telah dimusnahkan oleh pegawai polis korupsi itu dan Ta pula yang perlu membunuh Maryam. Ta ialah seorang nelayan biasa yang anak tunggalnya bernama Jim diculik oleh pegawai polis korupsi itu. Sebagai cara untuk mendapatkan anaknya balik, Ta perlu mengikut semua arahan polis itu termasuk tugasan membunuh Maryam. Namun Ta kesal kerana Jim tidak dikembalikan dan tidak dapat berhubung dengan pegawai polis tersebut. Ta sangat menyesal dengan perbuatannya dan rela dihukum mati asalkan Akhil memaafkannya. Namun, Ta ingin berjumpa dengan Jim dahulu. A bersetuju untuk bersama dengan Ta demi menyelamatkan Jim seterusnya menghapuskan polis korupsi itu. Pegawai polis korupsi itu diketuai oleh ASP Razak dan sekumpulan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK). Berjayakah mereka menyelamatkan Jim? Adakah mereka dapat membunuh pegawai polis korupsi itu? Adakah A akan menghukum mati Ta yang telah membunuh isterinya itu?

Ahad, 24 Mei 2009

karya aksi perang terhebat: Cinta Hitam Panglima Helang

Dahulunya, dia seorang panglima tentera kerajaan Selatan Jaya. Dia cukup digeruni dan dihormati kerana kehandalannya bertempur di medan perang. Satu hari, dia telah dipertemukan dengan Puteri Salbiah, puteri tunggal Raja Syamil yang merupakan tunangan Putera Inderawan. Panglima Helang dan Puteri Salbiah akhirnya saling jatuh cinta. Raja Syamil sangat kecewa apabila mendapat tahu Panglima Helang dan Puteri Salbiah telah membuat hubungan terlarang. Setelah mendengar penjelasan daripada Puteri Salbiah, akhirnya Raja Syamil membenarkan Panglima Helang dan Puteri Salbiah untuk lari meninggalkan istana. Penasihat diraja, Bendahara Wan Teja telah mencadangkan kepada Raja Syamil untuk memerangi Panglima Helang dan mendapatkan semula Puteri Salbiah. Anaknya, Pendekar Jagat dilantik sebagai panglima tentera kerajaan Selatan Jaya yang baru. Akhirnya, Raja Syamil yang sebenarnya sayangkan Panglima Helang terpaksa akur bahawa Panglima Helang wajar dianggap penderhaka negara. Manakala, Panglima Helang dan Puteri Salbiah sudah bernikah dan dikurniakan seorang anak lelaki. Apabila Panglima Helang mendapat tahu tentera kerajaaan ingin menyerangnya, dia mengumpulkan orang-orang kampung yang gagah berani untuk menyertainya. Dia terpaksa bertindak kerana dia terlalu sayangkan Puteri Salbiah dan anaknya itu. Pada peperangan pertama, tentera Panglima Helang berjaya menewaskan tentera pimpinan Pendekar Jagat yang mana Pendekar Jagat terbunuh dalam pertempuran ini. Beberapa bulan kemudian, Putera Inderawan pula memimpin tentera kerajaan yang sangat ramai digabungkan dengan tentera kerajaan ayahnya, Raja Andrawan. Misi Putera Inderawan ialah membunuh Panglima Helang dan mendapatkan semula Puteri Salbiah tanpa mengetahui bahawa Puteri Salbiah sudah pun mempunyai anak. Bendahara Wan Teja turut menyertai peperangan ini demi membalas dendam atas kematian anaknya. Bagaimanakah nasib Panglima Helang dalam peperangan ini?

karya aksi terhebat: RAMZI RAMBO

RAMZI RAMBO ialah bekas anggota Skuad Komando Elit Malaya (SKEM) yang telah bersara secara sukarela. Kini, dia bekerja sebagai pembalak bebas di Hutan Kalimantan, Borneo. Seramai 20 orang anggota SKEM diketuai Kapten Shaqiq telah ditugaskan untuk menggempur sekumpulan pengganas yang bersembunyi di Hutan Borneo tempat Ramzi bekerja. Hanya Kapten Shaqiq sahaja yang tahu identiti dan sejarah silam Ramzi. Kapten Shaqiq meminta bantuan Ramzi yang arif tentang selok-belok hutan untuk bertugas sebagai pemandu arah. Demi keselamatan Ramzi, Ramzi turut diberikan bekalan senjata. Berjayakah mereka menumpaskan pengganas yang sedang bersembunyi itu?

karya ceritera kepahlawanan: Cintaku Belum Mati

Pada zaman dahulu kala, di sebuah kampung yang terpencil, Kg. Rimba Tua... terdapat beberapa orang watak penting seperti berikut:

1. MAWAR SARI - Gadis yang sangat jelita di kampungnya. Anak dara Megat Shah, seorang petani yang memiliki ladang yang luas. Jatuh cinta dengan Marsani, seorang pemuda alim dan berkahwin dengannya. Selepas menerima berita ‘kematian’ Marsani, dia berubah menjadi gadis yang tidak terurus. Apatah lagi setelah dikahwinkan secara paksa dengan Damak. Dia sering didera secara fizikal dan emosi. Sering menjadi mangsa nafsu buas Damak. Namun, dia tetap yakin bahawa Marsani masih hidup dan dia tetap setia cintanya pada Marsani.

2. MARSANI @ PENDEKAR ARJUNA - Pada awalnya, dia seorang pemuda alim yang jujur dan jatuh cinta juga pada Mawar Sari. Merupakan pekerja Megat Shah. Selepas berkahwin, dia didendami oleh Damak. Satu hari, ketika dia ingin pergi berjumpa dengan rakan sekerjanya, Amil, dia telah diserang oleh Damak dan konco-konconya. Mukanya telah dibakar oleh Damak dan dia ditolak jatuh ke dalam gaung oleh Damak. Dia telah disangka ‘mati’. Namun, selepas setahun, dia muncul semula di kampungnya sebagai Pendekar Arjuna yang bertopeng dan bersenjatakan pedang yang sering menentang kejahatan di kampungnya. Dia menjadi bualan orang kampung kerana kehandalannya. Akhirnya, dia menyelamatkan Mawar Sari dan Megat Shah daripada dibunuh oleh Damak.

3. DAMAK - Anak Penghulu Darus. Seorang yang jahat dan mencintai Mawar Sari. Sanggup buat apa sahaja asalkan kemahuannya tercapai. Akhirnya, mati di tangan Pendekar Arjuna.

4. MEGAT SHAH - Seorang petani kaya yang dihormati kerana memiliki tanah dan ladang yang luas. Bapa kepada Mawar Sari. Seorang yang sanggup buat apa sahaja asalkan anaknya bahagia.

5. PENGHULU DARUS - Bapa Damak. Tetapi, seorang yang terlalu percayakan anaknya sehingga sanggup membela anaknya walaupun dia tahu anaknya berbuat jahat. Bersikap tidak adil dalam memerintah kampung. Namun, dia seorang yang tidak pentingkan harta benda kerana dia lebih suka menjaga maruah keluarganya.

karya sains fiksyen: ADAM & FARISH

Berikut adalah senarai watak-watak utama dalam karya ini:

1. ADAM - Anak lelaki Prof. Azham. Prof. Azham ialah seorang saintis hebat yang sudah lama meninggal dunia. Adam seorang yang genius. Telah mencipta mesin penghubung antara Bumi dengan Planet Zerax secara tidak sengaja. Menjadi sasaran utama Jeneral Erikson untuk dihapuskan.

2. FARISH - Anak lelaki Prof. Farizi. Sahabat baik Adam. Namun, terpaksa mengkhianati Adam demi kehendak bapanya. Akhirnya, dia mati dibunuh oleh Sonyx dan identitinya digunakan oleh Sonyx dalam misinya untuk memusnahkan mesin Adam dan menghapuskan Adam.

3. SONYX - Seorang pegawai tentera Planet Zerax yang paling dipercayai oleh Jeneral Erikson. Dikerahkan untuk memusnahkan mesin Adam dan menghapuskan Adam.

4. JENERAL ERIKSON - Ketua panglima tentera Planet Zerax yang sebenarnya bimbang dengan keselamatan penghuni Planet Zerax, kesan daripada penciptaan mesin Adam. Beliau bimbang manusia Bumi akan meneroka Planet Zerax dan menjajahinya.

5. PROF. FARIZI - Saintis yang tamak dan jahat. Dialah yang membunuh rakan baiknya, Prof. Azham kerana ingin mendapat hak cipta seorang diri. Berhasrat untuk mencuri mesin Adam dan mendapatkan hak cipta seterusnya ingin menjadikan dirinya sebagai saintis paling terkenal di dunia.