Selasa, 10 November 2009

karya sains fiksyen penuh suspens: Tangan Kananku

Zaidi telah disuntik di tangan kanannya dengan sejenis racun ciptaan saintis jahat bernama Prof. Mazlan. Kesannya, tangan kanan Zaidi lumpuh sepenuhnya. Dr. Tajul, seorang pakar saraf, telah memulihkan tangan kanan Zaidi dengan sejenis serum ciptaannya yang masih lagi dalam keadaan prototype. Kesannya, bukan sahaja tangan kanan Zaidi pulih daripada lumpuh, malah ia memiliki kekuatan luar biasa dan mampu menjana semula (regeneration). Kini, Zaidi akan menggunakan tangan kanannya itu untuk membalas dendam terhadap Prof. Mazlan yang pernah menganiayanya. Dalam usahanya untuk membalas dendam, Zaidi berdepan dengan pelbagai situasi yang memerlukannya untuk menggunakan kelebihan yang ada pada tangan kanannya itu. Prof. Mazlan pula tahu akan kekuatan yang ada pada Zaidi itu. Lalu, beliau mencipta sejenis senjata untuk memusnahkan tangan kanan Zaidi itu. Berjayakah Zaidi membalas dendam terhadap Prof. Mazlan? Adakah Zaidi akan mengalami kesan sampingan disebabkan serum ciptaan Dr. Tajul itu?

karya aksi sains fiksyen futuristik: Skuad Farmasi 3030

Pada tahun 2030, dunia diancam serangan sejenis wabak virus yang dicipta oleh pakar bioteknologi bernama Prof. Zoul. Akibat serangan virus itu, ramai manusia yang terkorban. Bukan itu sahaja, ekonomi menjadi lumpuh sepenuhnya. Tamadun, kemajuan, dan pembangunan yang sedia ada, semakin lama semakin perlahan, dan berakhir sama sekali. Saat itu, dunia seperti akan berakhir. Seorang pakar fizik dari United Kingdom, Prof. Edward, pula telah berjaya mencipta mesin perentas masa. Demi menyelamatkan dunia, Prof. Edward telah memanggil Skuad Farmasi 3030, dari 1000 tahun akan datang, untuk datang ke tahun 2030, bagi menyelamatkan keadaan. Skuad Farmasi 3030 ialah sebuah pasukan pembekal dan pencipta ubat-ubatan terbaik di dunia dari masa depan. Skuad Farmasi 3030 akan mencipta penawar untuk memusnahkan virus ciptaan Prof. Zoul itu. Bagaimanapun, usaha ini bukan semudah yang disangka. Anggota Skuad Farmasi 3030 dikehendaki turun padang dan meninjau keadaan pesakit yang terkena virus itu. Pesakit yang terkena virus itu berubah menjadi liar dan ganas dan akan memakan manusia (kanibal). Itulah sebabnya Skuad Farmasi 3030 juga dibekalkan senjata api khas bagi memerangi pesakit yang semacam zombie ini. Prof. Zoul pula menyimpan penawar bagi virus itu. Mampukah dunia pada tahun 2030 ini diselamatkan?

karya drama cinta meruntun jiwa: Inikah Cinta Sejati?

Berlatarbelakangkan sebuah kolej swasta di Johor, Fahmi, seorang pelajar biasa yang pendiam, tapi memiliki wajah yang kacak, sopan-santun, dan berbudi bahasa. Fahmi menjadi kegilaan para pelajar perempuan dan pensyarah-pensyarah wanita kerana ketampanan dan kesopannnya itu. Bagaimanapun, Fahmi tidak menyedari semua ini. Fahmi sebenarnya bersyukur kerana dapat belajar dalam bidang perubatan di kolej swasta tersebut, dengan bantuan kewangan daripada bapa saudaranya. Fahmi sebenarnya tidak mendapat apa-apa tawaran pun dari IPTA kerana keputusan peperiksaan SPM yang tidak memberangsangkan. Bapa saudaranya sering mengingatkan Fahmi supaya belajar bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi kesilapan semasa SPM dulu. Dan Fahmi akur dengan pesanan bapa saudaranya itu. Bagi Fahmi sendiri, dia rasakan dia tidak perlu untuk bercinta kerana baginya, bercinta akan mengganggu tumpuan pelajarannya.

Namun, pendiriannya tentang cinta berubah apabila dia jatuh cinta pandang pertama pada pensyarahnya sendiri yang bernama Pn. Heliza, yang telahpun berumahtangga, tapi masih belum mempunyai cahaya mata. Namun, menyedari status pensyarahnya itu, Fahmi lekas-lekas membuang perasaan cintanya itu. Sejak hari itu, Fahmi kerap berjumpa dan bertanyakan apa-apa masalah berkaitan pelajaran, kepada Pn. Heliza. Semakin lama, hubungan mereka sangat rapat, seperti kakak dengan adik. Pn. Heliza juga sangat mengambil berat akan kebajikan Fahmi, yang dianggapnya macam adik sendiri.

Fahmi pula semakin lama semakin menyayangi Pn. Heliza lebih daripada seorang kakak. Fahmi menulis luahan cintanya itu di dalam sebuah diari. Epul, sahabat sebiliknya telah terbaca diari itu. Epul yang juga kawan baik kepada Ayesha, telah mendedahkan rahsia bahawa Fahmi mencintai Pn. Heliza. Ayesha pula sangat mencintai Fahmi sepenuh jiwa raganya. Malah, Ayesha merancang untuk melamar Fahmi sendiri walaupun akan dianggap perigi mencari timba. Sikap lemah lembut Ayesha selama ini berubah apabila Ayesha telah menengking Pn. Heliza dan member amaran keras kepada Pn. Heliza supaya menjauhkan diri daripada Fahmi. Ramai pensyarah, pelajar, dan kakitangan pejabat, yang menyaksikan peristiwa memalukan itu. Pn. Heliza berasa sangat malu dan kecewa dengan amaran keras Ayesha itu. Ayesha pula seperti tidak rasa bersalah walaupun telah bersikap biadap dengan pensyarahnya sendiri. Apa yang mengejutkan Pn. Heliza ialah, beliau sendiri tidak sangka bahawa Fahmi mencintainya sebagai seorang kekasih. Pn. Heliza tidak dapat menerima kenyataan itu. Sejak kejadian itu, Pn. Heliza berusaha untuk mengelakkan dirinya daripada Fahmi. Beliau tidak mahu menjadi seorang isteri yang curang kepada suami. Fahmi pula menyedari perubahan Pn. Heliza. Tiada lagi kemesraan seperti dulu. Fahmi tekad untuk tidak berkahwin dan membujang hingga ke tua, sehinggalah Pn. Heliza membalas cintanya. Begitulah kuatnya cinta Fahmi kepada Pn. Heliza. Anwar, suami kepada Pn. Heliza, telah mendapat tahu tentang perasaan cinta Fahmi kepada isterinya, melalui Epul dan Ayesha. Lalu, Anwar telah mengupah beberapa orang samseng untuk mengajar Fahmi. Fahmi telah dibelasah dengan teruk sekali sehingga terlantar koma. Kerana geram dengan kecurangan isterinya, Anwar mengupah Epul dan Ayesha, supaya menculik Pn. Heliza dan Anwar akan berpura-pura menjadi hero untuk menyelamatkan Pn. Heliza. Fahmi yang sedang terlantar koma, tiba-tiba tersedar dari koma, dan menyedari Pn. Heliza dalam bahaya. Fahmi seakan mendapat sixth sense tentang di mana lokasi Pn. Heliza disembunyikan selepas diculik.

Fahmi keluar dari hospital secara senyap-senyap di malam hari, masih dengan berpakaian pesakit wad. Fahmi tekad menyelamatkan Pn. Heliza. Berjayakah Fahmi menyelamatkan Pn. Heliza. Adakah cinta sejati Fahmi berbalas?