Selasa, 2009 November 10

karya sains fiksyen penuh suspens: Tangan Kananku

Zaidi telah disuntik di tangan kanannya dengan sejenis racun ciptaan saintis jahat bernama Prof. Mazlan. Kesannya, tangan kanan Zaidi lumpuh sepenuhnya. Dr. Tajul, seorang pakar saraf, telah memulihkan tangan kanan Zaidi dengan sejenis serum ciptaannya yang masih lagi dalam keadaan prototype. Kesannya, bukan sahaja tangan kanan Zaidi pulih daripada lumpuh, malah ia memiliki kekuatan luar biasa dan mampu menjana semula (regeneration). Kini, Zaidi akan menggunakan tangan kanannya itu untuk membalas dendam terhadap Prof. Mazlan yang pernah menganiayanya. Dalam usahanya untuk membalas dendam, Zaidi berdepan dengan pelbagai situasi yang memerlukannya untuk menggunakan kelebihan yang ada pada tangan kanannya itu. Prof. Mazlan pula tahu akan kekuatan yang ada pada Zaidi itu. Lalu, beliau mencipta sejenis senjata untuk memusnahkan tangan kanan Zaidi itu. Berjayakah Zaidi membalas dendam terhadap Prof. Mazlan? Adakah Zaidi akan mengalami kesan sampingan disebabkan serum ciptaan Dr. Tajul itu?

karya aksi sains fiksyen futuristik: Skuad Farmasi 3030

Pada tahun 2030, dunia diancam serangan sejenis wabak virus yang dicipta oleh pakar bioteknologi bernama Prof. Zoul. Akibat serangan virus itu, ramai manusia yang terkorban. Bukan itu sahaja, ekonomi menjadi lumpuh sepenuhnya. Tamadun, kemajuan, dan pembangunan yang sedia ada, semakin lama semakin perlahan, dan berakhir sama sekali. Saat itu, dunia seperti akan berakhir. Seorang pakar fizik dari United Kingdom, Prof. Edward, pula telah berjaya mencipta mesin perentas masa. Demi menyelamatkan dunia, Prof. Edward telah memanggil Skuad Farmasi 3030, dari 1000 tahun akan datang, untuk datang ke tahun 2030, bagi menyelamatkan keadaan. Skuad Farmasi 3030 ialah sebuah pasukan pembekal dan pencipta ubat-ubatan terbaik di dunia dari masa depan. Skuad Farmasi 3030 akan mencipta penawar untuk memusnahkan virus ciptaan Prof. Zoul itu. Bagaimanapun, usaha ini bukan semudah yang disangka. Anggota Skuad Farmasi 3030 dikehendaki turun padang dan meninjau keadaan pesakit yang terkena virus itu. Pesakit yang terkena virus itu berubah menjadi liar dan ganas dan akan makan manusia (kanibal). Itulah sebabnya Skuad Farmasi 3030 juga dibekalkan senjata api khas bagi memerangi pesakit yang semacam zombie ini. Prof. Zoul pula menyimpan penawar bagi virus itu. Mampukah dunia pada tahun 2030 ini diselamatkan?

karya drama cinta meruntun jiwa: Inikah Cinta Sejati?

Berlatarbelakangkan sebuah kolej swasta di Johor, Fahmi, seorang pelajar biasa yang pendiam, tapi memiliki wajah yang kacak, sopan-santun, dan berbudi bahasa. Fahmi menjadi kegilaan para pelajar perempuan dan pensyarah-pensyarah wanita kerana ketampanan dan kesopannnya itu. Bagaimanapun, Fahmi tidak menyedari semua ini. Fahmi sebenarnya bersyukur kerana dapat belajar dalam bidang perubatan di kolej swasta tersebut, dengan bantuan kewangan daripada bapa saudaranya. Fahmi sebenarnya tidak mendapat apa-apa tawaran pun dari IPTA kerana keputusan peperiksaan SPM yang tidak memberangsangkan. Bapa saudaranya sering mengingatkan Fahmi supaya belajar bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi kesilapan semasa SPM dulu. Dan Fahmi akur dengan pesanan bapa saudaranya itu. Bagi Fahmi sendiri, dia rasakan dia tidak perlu untuk bercinta kerana baginya, bercinta akan mengganggu tumpuan pelajarannya.

Namun, pendiriannya tentang cinta berubah apabila dia jatuh cinta pandang pertama pada pensyarahnya sendiri yang bernama Pn. Heliza, yang telahpun berumahtangga, tapi masih belum mempunyai cahaya mata. Namun, menyedari status pensyarahnya itu, Fahmi lekas-lekas membuang perasaan cintanya itu. Sejak hari itu, Fahmi kerap berjumpa dan bertanyakan apa-apa masalah berkaitan pelajaran, kepada Pn. Heliza. Semakin lama, hubungan mereka sangat rapat, seperti kakak dengan adik. Pn. Heliza juga sangat mengambil berat akan kebajikan Fahmi, yang dianggapnya macam adik sendiri.

Fahmi pula semakin lama semakin menyayangi Pn. Heliza lebih daripada seorang kakak. Fahmi menulis luahan cintanya itu di dalam sebuah diari. Epul, sahabat sebiliknya telah terbaca diari itu. Epul yang juga kawan baik kepada Ayesha, telah mendedahkan rahsia bahawa Fahmi mencintai Pn. Heliza. Ayesha pula sangat mencintai Fahmi sepenuh jiwa raganya. Malah, Ayesha merancang untuk melamar Fahmi sendiri walaupun akan dianggap perigi mencari timba. Sikap lemah lembut Ayesha selama ini berubah apabila Ayesha telah menengking Pn. Heliza dan member amaran keras kepada Pn. Heliza supaya menjauhkan diri daripada Fahmi. Ramai pensyarah, pelajar, dan kakitangan pejabat, yang menyaksikan peristiwa memalukan itu. Pn. Heliza berasa sangat malu dan kecewa dengan amaran keras Ayesha itu. Ayesha pula seperti tidak rasa bersalah walaupun telah bersikap biadap dengan pensyarahnya sendiri. Apa yang mengejutkan Pn. Heliza ialah, beliau sendiri tidak sangka bahawa Fahmi mencintainya sebagai seorang kekasih. Pn. Heliza tidak dapat menerima kenyataan itu. Sejak kejadian itu, Pn. Heliza berusaha untuk mengelakkan dirinya daripada Fahmi. Beliau tidak mahu menjadi seorang isteri yang curang kepada suami. Fahmi pula menyedari perubahan Pn. Heliza. Tiada lagi kemesraan seperti dulu. Fahmi tekad untuk tidak berkahwin dan membujang hingga ke tua, sehinggalah Pn. Heliza membalas cintanya. Begitulah kuatnya cinta Fahmi kepada Pn. Heliza. Anwar, suami kepada Pn. Heliza, telah mendapat tahu tentang perasaan cinta Fahmi kepada isterinya, melalui Epul dan Ayesha. Lalu, Anwar telah mengupah beberapa orang samseng untuk mengajar Fahmi. Fahmi telah dibelasah dengan teruk sekali sehingga terlantar koma. Kerana geram dengan kecurangan isterinya, Anwar mengupah Epul dan Ayesha, supaya menculik Pn. Heliza dan Anwar akan berpura-pura menjadi hero untuk menyelamatkan Pn. Heliza. Fahmi yang sedang terlantar koma, tiba-tiba tersedar dari koma, dan menyedari Pn. Heliza dalam bahaya. Fahmi seakan mendapat sixth sense tentang di mana lokasi Pn. Heliza disembunyikan selepas diculik.

Fahmi keluar dari hospital secara senyap-senyap di malam hari, masih dengan berpakaian pesakit wad. Fahmi tekad menyelamatkan Pn. Heliza. Berjayakah Fahmi menyelamatkan Pn. Heliza. Adakah cinta sejati Fahmi berbalas?

Isnin, 2009 Oktober 19

karya aksi sains fiksyen luar biasa: KACA

Kaer ialah salah seorang pekerja di sebuah kilang pemprosesan kaca, Glass Vior Factory milik Tn. Zamzuri Anas (TZA). Sebenarnya, dia mempunyai kebolehan luar biasa untuk mengawal kaca sama ada untuk menggerakkannya, memecahkannya, membentuk semula, melenturnya, atau membuat apa sahaja ke atas kaca hanya dengan menggunakan mindanya. Di tempat kerja, Kaer seorang pekerja yang rajin dan pendiam. Kaer sebenarnya ingin mengumpul wang simpanan sebanyak yang mungkin untuk digunakan semasa perkahwinannya nanti yang dijangka akan berlangsung pada bulan hadapan. Tunangnya, Anis, tidak sabar-sabar untuk mempercepatkan perkahwinan mereka itu. TZA pula mengetahui akan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kaer. TZA sebenarnya ketua bagi satu organisasi rahsia, Abyx, yang menjalankan misi pembunuhan ke atas orang-orang penting (VIP) yang terdiri daripada ahli perniagaan dan ahli politik. TZA yang mengetahui kelebihan Kaer, telah merekrut Kaer untuk bekerja sebagai pembunuh upahan bagi Abyx. Sebagai ganjaran, Kaer akan diberikan wang upahan yang cukup lumayan. Oleh sebab tidak tahan didesak oleh Anis supaya mempercepatkan perkahwinan mereka, Kaer terpaksa menerima tawaran daripada TZA. Maka, bermulalah kehidupan Kaer sebagai pembunuh upahan bertopeng yang menggunakan kelebihan luar biasanya untuk membunuh VIP yang disasarkan oleh Abyx. Ramai VIP yang menjadi mangsa pembunuhan angkara Kaer. Sebenarnya, kerja-kerja pembunuhan yang dilakukan oleh Kaer telah dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa termasuklah Anis sendiri, atas arahan TZA. Malah, Anis juga tidak tahu kebolehan luar biasa Kaer. Ekoran kejadian pembunuhan VIP yang cara kematian mereka hampir sama, iaitu ditusuk dengan serpihan kaca, maka pegawai penyiasat dari PDRM, ASP Anuar, berusaha merungkai misteri pembunuhan ini, dan menjejaki pembunuh bertopeng yang digelar Dewa Kaca oleh masyarakat awam. Dewa Kaca dinamakan kerana ada saksi yang terlihat keluarbiasaan yang ada pada Kaer.

Pada suatu malam, ketika Anis ingin pulang dari tempat kerjanya, seorang penembak tepat, Romero dari Abyx telah menembak mati Anis secara hendap. Anis mati akibat satu das tembakan di kepalanya. Kejadian itu berlaku sepantas kilat. Namun, kamera pengawasan CCTV sempat merakamkan kejadian itu.

Kematian Anis yang begitu tragik ini, memberi kedukaan yang amat sangat kepada Kaer. ASP Anuar, telah menunjukkan rakaman CCTV kejadian pembunuhan itu. Setelah itu, Kaer diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Kaer mengesyaki TZA ialah dalang bagi kes pembunuhan Anis. Setelah menonton rakaman CCTV itu, Kaer kenal benar akan corak pembunuhan yang dilakukan oleh Abyx yang begitu professional, teliti, dan cepat. Tambahan pula, TZA bimbang jika Anis mengetahui kejahatan Abyx. Kaer meminta penjelasan daripada TZA. Sangkaan Kaer ternyata benar. Kaer sangat marah dan cuba menyerang TZA dan konco-konconya. Namun, TZA mempunyai alat yang dapat menghentikan kuasa Kaer serta-merta. Alat itu juga dibuat daripada kaca khas yang dihasilkan di Glass Vior Factory sendiri. Kaer rebah di situ juga.

Kini, Kaer dikurung di penjara yang dibuat daripada kaca khas yang sama seperti alat milik TZA itu. Namun, Kaer tidak dapat memecahkan kaca khas itu. Kaer seakan lemah apabila berhadapan dengan kaca khas itu. Barulah Kaer menyesal kerana melibatkan diri dalam jenayah yang didalangi oleh Abyx dan TZA.
Riz, seorang pemuda menganggur yang selalu merayau di kaki lima dan lorong-lorong sepi di ibu kota. Dia kelihatan seperti tidak terurus dengan rambutnya yang panjang mencecah bahu, dan jambang serta misainya yang lebat. Tetapi, tak siapa tahu bahawa Riz juga mempunyai kebolehan yang sama seperti Kaer. Malah, Riz juga handal dalam menyiasat. Riz dapat mengetahui tentang Kaer, Anis, TZA, Romero, dan Abyx, melalui penyiasatannya sendiri. Kini, Riz akan membantu Kaer dalam memerangi kejahatan Abyx.

Berjayakah Kaer diselamatkan oleh Riz? Atau Riz menerima nasib yang sama seperti Kaer? Mampukah mereka berdua menentang kejahatan Abyx?

Isnin, 2009 Ogos 31

karya aksi fantasi penuh luar biasa: Pingat Sakti Dari Mesir

Amer ialah seorang pelajar tahun akhir jurusan arkeologi, telah mengembara ke Mesir bagi menjalankan penyelidikan di sana, untuk melengkapkan tesisnya. Pensyarah yang menyelianya, Prof. Esma, turut mengikuti Amer untuk membantu Amer melaksanakan tugasannya itu. Setibanya di Mesir, Amer dan Prof. Esma telah dibawa oleh seorang anak Malaysia yang bekerja sebagai pemandu pelancong, Rez, untuk ke salah sebuah piramid Firaun. Setibanya mereka di hadapan piramid itu, Amer secara tidak sengaja telah tersepak sesuatu. Setelah diselidik, barulah Amer menemui sesuatu yang disepaknya itu. Ia adalah sebuah pingat emas yang memancarkan kilauannya. Secara spontan dan tidak disengajakan, Amer memakai pingat itu. Satu kuasa sakti keluar dari pingat emas itu dan memasuki tubuh Amer. Amer meraung kesakitan dan akhirnya pengsan.

Amer terlantar tidak sedarkan diri di salah sebuah hospital di Kaherah. Rez telah mengambil pingat emas itu. Manakala, Prof. Esma setia menemani Amer. Doktor yang merawat Amer tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan Amer dilaporkan sangat sihat. Malah, sistem tubuh badannya berada dalam keadaan yang sangat baik. Kes Amer ini merupakan kes paling pelik pernah mereka temui. Selepas beberapa hari, Amer sedar daripada koma. Amer memberitahu akan mimpinya semasa koma, kepada Prof. Esma.

Dalam mimpi itu, berlatarbelakangkan zaman awal Tamadun Mesir Purba dan kerajaan diperintah oleh Firaun. Para ahli sihir Firaun diperintahkan untuk menyalurkan semua kuasa sihir mereka ke atas salah sebuah pingat emas yang menjadi khazanah kerajaan paling berharga. Maka, para ahli sihir itu pun akur akan perintah Firaun. Akhirnya, Firaun memiliki sebuah pingat sakti yang di dalamnya mengandungi kuasa sihir yang luar biasa. Pingat itu disimpan sendiri olehnya. Namun, Firaun tak pula memakai pingat itu kerana baginya, dialah Tuhan. Dia lebih berkuasa daripada pingat sakti itu. Salah seorang pembesar di istana Firaun, Ramses, berazam untuk memiliki pingat itu untuk menjadi manusia berkuasa. Ramses ingin menguasai kerajaan. Maka, berlakulah pembunuhan Firaun yang dilakukan oleh Ramses. Ramses merampas pingat itu dan memakainya. Ramses berubah menjadi manusia yang memilki kekuatan dan kuasa yang luar biasa. Para ahli sihir yang setia pada Firaun, berjaya ditumpaskan oleh Ramses dengan mudah. Ramses memusnahkan apa sahaja di sekelilingnya sehingga mengubah bandar Mesir Purba menjadi padang jarak padang tekukur. Iblis yang memberikan kuasa sihir itu marah dengan tindakan Ramses lalu menghapuskan Ramses sehingga mayat Ramses menjadi debu-debu halus. Pingat itu pula mendapat kuasa sihir itu semula, lalu ia tertimbus di dasar pasir gurun untuk berkurun-kurun lamanya. Sehinggalah, Amer menemui pingat itu semula dan memakainya.

Prof. Esma memberitahu bahawa Rez telah menyimpan pingat itu. Dia tidak tahu pun bagaimana dan di mana Rez akan menyimpan pingat itu. Amer mengajak Prof. Esma untuk mendapatkan kembali pingat itu dan menyimpannya di tempat asalnya semula. Mereka mesti mencegah Rez daripada memakai pingat itu. Amer pula menyesal kerana telah memakai pingat itu. Dia bimbang nasibnya akan sama seperti Ramses. Ternyata Amer memiliki kuasa sakti. Amer mampu untuk menembusi dinding, terbang, melompat jauh, mengeluarkan aura yang mampu memusnahkan apa sahaja, tidak cedera, dan mampu menjadi halimunan. Misi mereka ialah mencari Rez dan mendapatkan pingat itu semula.

Rez pula memakai pingat itu, tetapi tidak dapat memilki kesaktian. Dia sudah lama mencari pingat itu dan sudah lama mengetahui sejarah legenda pingat emas itu. Dia berharap dia akan menjadi manusia berkuasa seperti Ramses. Sebenarnya, Rez seorang atheis yang tidak percaya pada sebarang agama. Namun, dia seorang yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Setelah diselidiki, barulah Rez sedar bahawa kuasa sakti pingat itu sudah dimiliki oleh Amer. Kali ini, satu rancangan jahat yang rapi perlu disusun untuk memperdayakan Amer dan mengambil semula kuasa itu. Rez perlu memaksa Amer memindahkan semula kuasa sakti itu ke dalam pingat emas itu, dengan cara Amer memakai semula pingat emas itu. Selepas itu, barulah Rez memakai pingat itu dan mengambil kuasa sakti itu semula. Dengan kata lain, pingat emas itu menjadi perantara perpindahan kuasa antara Amer dengan Rez. Namun, setujukah Amer dengan rancangan Rez itu nanti?

Amer mendapat panggilan kecemasan dari pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM). Kakaknya telah diculik oleh sekumpulan penculik bertaraf antarabangsa. Penculik yang didalangi oleh lelaki bernama Colombo, menuntut RM 10 juta dollar daripada kerajaan Malaysia. Amer terpaksa melupakan hasratnya untuk menemui Rez, dan meminta Prof. Esma mencari Rez untuknya. Dengan kuasa sakti yang ada padanya, Amer terbang ke Malaysia. Berjayakah Amer menyelamatkan kakaknya dan kembali sebagai manusia biasa semula? Adakah matlamat Rez untuk menjadi manusia berkuasa seperti Ramses akan tercapai?

karya aksi robotik terhebat: Skull Corp.

Sebuah syarikat yang menghasilkan tulang-tulang robotik berteknologi tinggi, Skull Corp., diterajui oleh seorang bekas santis bioteknologi yang terkenal di Kota Logan, Prof. Shazy. Skull Corp. pada dasarnya ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit yang hilang upaya seperti kudung tangan dan kaki, juga pesakit-pesakit yang mengalami patah tulang akibat kemalangan. Tulang-tulang robotik telah dicipta sendiri oleh Prof. Shazy dan dibantu oleh barisan saintis-saintis yang pakar dalam pelbagai bidang. Salah seorang saintis yang membantu Prof. Shazy bernama, Dr. Fred, mempunyai agenda yang jahat. Beliau mahu Skull Corp. dijadikan pusat utama untuk menghasilkan tentera robotik dengan menggunakan teknologi yang ada di Skull Corp. Bukan itu sahaja, malah, Dr. Fred berniat untuk menjatuhkan Prof. Shazy dan menguasai sepenuhnya Skull Corp.

Dr. Fred mengupah seorang pembunuh upahan professional bernama Ven, untuk membunuh Prof. Shazy. Prof. Shazy sebenarnya telah lama mengetahui akan niat jahat Dr. Fred. Oleh sebab itulah, Prof. Shazy telah meminta saintis-saintis yangs setia padanya untuk melakukan pembedahan khas untuk mengubah diri Prof. Shazy kepada manusia separuh robot yang memiliki kekuatan luar biasa. Tengkorak kepala Prof. Shazy telah digantikan dengan tengkorak platinum yang dilengkapi teknologi tinggi serta kalis peluru dan api. Malah, otak Prof. Shazy juga telah dimasukkan dengan sejenis cecair kimia khas untuk disesuaikan dengan tengkorak baru Prof. Shazy. Namun, wajah Prof. Shazy tetap dipastikan tidak berubah walaupun telah menggunakan kulit polimer sintetik yang baru. Sistem saraf yang ada di tubuh Prof. Shazy juga telah dinaik taraf dengan dimasukkan wayar-wayar saraf buatan untuk memberikan kekuatan luar biasa kepada Prof. Shazy. Kini, Prof. Shazy bukan lagi manusia biasa kerana 60% dari dirinya terdiri daripada komponen-komponen berteknologi tinggi atau kata lain sebagai komponen robotik.

Misi Dr. Fred untuk membunuh Prof. Shazy tidak tercapai apabila Ven mati di tangan Prof. Shazy yang kini bergelar Skull. Skull tidak dapat mengawal dirinya akibat kesan sampingan daripada pembedahan khas itu. Dia berubah menjadi ganas dan seolah-olah diprogramkan untuk membunuh sesiapa sahaja. Malah, saintis-saintis yang setia padanya dahulu, pun berpaling tadah kerana mereka sedar Skull bukan lagi Prof. Shazy yang dulu. Mereka mula menyokong Dr. Fred untuk menjadi CEO Skull Corp. sekaligus sebagai ketua mereka di Skull Corp. Tercapai juga hasrat Dr. Fred untuk menguasai Skull Corp. setelah Skull membawa dirinya untuk mengganas di Kota Logan. Sebenarnya, mereka tidak tahu pun akan agenda jahat Dr. Fred.

Satu mensyuarat tergempar diadakan khusus untuk menangani keganasan yang sedang dilakukan oleh Skull. Dr. Fred bertindak sebagai pengerusi. Beliau mengusulkan supaya pasukan tentera robotik dihasilkan dengan kadar yang segera dan dalam kuantiti yang banyak, dengan tujuan untuk menghapuskan Skull. Pada awalnya, mereka membantah kerana mereka masih menganggap Prof. Shazy ada dalam diri Skull. Namun, selepas Dr. Fred berhujah panjang tentang akibat buruk yang bakal melanda warga Kota Logan, mereka terpaksa bersetuju dengan cadangan Dr. Fred itu. Teknologi yang ada di Skull Corp. telah digunakan untuk menghasilkan tentera robotik itu. Pasukan tentera robotik itu dinamakan sebagai RoboWarrior-X (RWX). Pasukan RWX telah dikawal sepenuhnya oleh Dr. Fred dan bergerak atas arahan Dr. Fred. Dr. Fred telah mengarahkan supaya RWX menghapuskan Skull , para saintis di Skull Corp., dan orang awam yang tidak berdosa. Maka, RWX mulalah mengganas di Kota Logan.

Para saintis Skull Corp. barulah menyedari bahawa Dr. Fred sebenarnya mempunyai agenda jahat yang tidak pernah mereka sedari sebelum ini. Mereka tidak mampu untuk bertindak apa-apa kerana Dr. Fred sudah menyimpan semua rahsia teknologi di Skull Corp. dan menguasai keseluruhan sistem di Skull Corp. Harapan mereka cuma satu. Berharap Skull dapat kembali semula kepada Prof. Shazy untuk menentang kejahatan Dr. Fred dan pasukan RWX itu. Skull yang menghadapi tentangan hebat daripada RWX mula mengalami kecelaruan personaliti. Skull melihat sendiri keganasan yang dilakukan oleh RWX ke atas orang awam di Kota Logan. Akhirnya, imbasan-imbasan peristiwa lampau mengingatkan Skull akan siapa sebenarnya dia. Barulah Skull menyedari bahawa diri sebenarnya ialah Prof. Shazy, CEO Skull Corp. Skull menyedari bahawa RWX itu sebahagian daripada rancangan jahat Dr. Fred untuk menjatuhkannya. Akhirnya, Prof. Shazy sudah kembali. Kali ini, untuk menentang kejahatan Dr. Fred dan pasukan RWX. Sebahagian para saintis Skull Corp. yang masih hidup bersyukur kerana Prof. Shazy sudah pulih daripada kesan sampingan itu. Berjayakah Prof. Shazy menentang kejahatan yang berlaku di Kota Logan itu?

Ahad, 2009 Ogos 30

karya aksi sains fiksyen penuh kecanggihan teknologi: Kamera Penghenti Masa (Time-Stopper Camera @ TSC)

Seorang pembuat kamera bernama Muhaimin telah bekerjasama dengan sahabat baiknya yang juga seorang saintis fizik dari Amerika Syarikat, Prof. Grey Richard, dalam usaha untuk menghasilkan sebuah kamera berteknologi tinggi yang mampu untuk menghentikan masa. Akhirnya, atas usaha mereka berdua yang tidak pernah kenal erti putus asa, TSC berjaya dihasilkan. Namun, mereka merancang untuk merahsiakan ciptaan mereka daripada pengetahuan sesiapapun.

Beberapa bulan kemudian, mayat Muhaimin dan Prof. Grey Richard ditemui di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Pihak polis mengesyaki bahawa mereka berdua mati dibunuh. Seorang pakar forensik, Dr. Aizam, telah ditugaskan untuk menyiasat kejadian pembunuhan itu. Dr. Aizam berjaya menemui sebuah diari catatan milik Muhaimin yang turut menceritakan tentang TSC. Muhaimin menceritakan tentang seorang lelaki misteri yang kerap menghubunginya semata-mata untuk mendapatkan TSC. Kini, Dr. Aizam perlu mencari TSC seperti apa yang dinyatakan oleh Muhaimin. Muhaimin bimbang TSC disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu termasuklah lelaki misteri itu.

Lelaki misteri itu bernama Qayyum, seorang pakar fizik yang telah lama mengikuti eksperimen saintifik yang dilakukan oleh Muhaimin dan Prof. Grey Richard. Dialah yang mencuri TSC dan membunuh mereka berdua. Qayyum sebenarnya ingin menunjukkan TSC kepada anaknya, Qazer, untuk membuktikan kepada anaknya bahawa masa boleh diberhentikan. Sebelum ini, Qayyum pernah mengemukakan teori bahawa masa dapat diberhentikan dengan menggunakan kaedah dan teknologi fizik tertentu. Teori itu telah dibentangkan di Akademi Sains Dunia (World Science Academy) di Sweden. Namun, teori Qayyum telah menjadi bahan ketawa di sana. Qayyum dianggap sebagai ahli sains yang gila. Cuma, dua orang manusia sahaja yang percaya akan teori itu, iaitu Muhaimin dan Prof. Grey Richard. Qazer yang tidak meminati sains juga mencabar ayahnya supaya membuktikan teori masa dapat berhenti itu.

Akhirnya, Qazer percaya akan teori ayahnya. Dia mencadangkan supaya ayahnya memperkenalkan TSC di Akademi Sains Dunia sekaligus dapat membuktikan teorinya itu. Qazer berharap ayahnya dapat memenangi hadiah Nobel dalam bidang fizik. Malah, Qazer mula menunjukan minat dalam bidang sains terutamanya fizik. Qayyum pula tidak bersetuju dengan cadangan anaknya kerana bimbang rahsia pembunuhan yang pernah dilakukannya akan terbongkar. Qayyum meminta supaya Qazer menggunakan TSC dengan sebaik-baiknya. Mulai saat itu, TSC menjadi gadget kesayangan Qazer.

Dr. Aizam akhirnya mengetahui rahsia sebenar siapa lelaki misteri yang bernama Qayyum itu. Dr. Aizam berjaya mendapatkan profil dan maklumat terperinci tentang Qayyum yang juga saintis fizik terkenal di Malaysia. Kini, pihak polis memburu Qayyum untuk mendapatkan semula TSC. Namun, Qayyum telah melarikan diri ke Ukraine sejak awal-awal lagi. Adakah TSC kesayangan Qazer akan dirampas oleh pihak berkuasa?