Selasa, 16 Jun 2009

karya aksi peperangan tanpa henti: Battle Of Matrix (BOM)

(karya ini dilhamkan daripada filem Battle Royale)

Seramai 50 orang pelajar lelaki dari Kolej Matrikulasi Johor telah terpilih untuk mengikuti Kem Perkhemahan Remaja di Gunung Ledang. 2 bas kolej telah digunakan dalam perjalanan mereka ke Gunung Ledang. Selepas beberapa minit, mereka telah ditidurkan dengan sejenis gas penidur. Perjalanan mereka bukan ke Gunung Ledang tetapi ke sebuah hutan terpencil yang agak jauh di utara Johor. Selepas beberapa jam, mereka mula terjaga dan sampai di kawasan hutan yang agak asing bagi mereka. Rupa-rupanya, mereka telah dibawa ke markas kumpulan pengganas yang tidak pernah diketahui oleh sesiapapun sebelum ini. Kelihatan begitu ramai anggota pengganas berpakaian tentera dan lengkap bersenjata api. Tambah mengejutkan apabila 2 orang pemandu bas yang membawa mereka sebenarnya anggota pengganas itu juga. Seramai 4 orang pensyarah lelaki dan 4 orang pensyarah perempuan yang mengikuti rombongan itu, telah ditawan oleh pengganas itu. Kumpulan pengganas yang menguasai hutan itu diketuai oleh Arman Zed. 50 orang pelajar lelaki itu dikehendaki bermain satu permainan bercorak peperangan yang dikenali sebagai Battle Of Matrix (BOM). Peserta perlu membunuh satu sama lain untuk memenangi permainan ini. Hanya seorang yang terselamat akan menang dan pemenang akan dipilih sebagai anggota kadet bagi menyertai kumpulan pengganas itu. Dalam erti kata yang lain, permainan ini bertujuan untuk memilih seorang sahaja ahli baru untuk menyertai kumpulan pengganas itu. Peserta tidak boleh lari dari hutan itu kerana semuanya telah dikawal dan dipantau oleh anggota pengganas yang bertugas. Tambahan pula, pihak polis mahupun tentera kerajaan tidak tahu pun tentang kewujudan kumpulan pengganas itu di hutan yang teroencil itu. Salah seorang daripada pelajar itu bernama Azri, cukup lantang bersuara untuk menentang idea gila pengganas itu. Arman Zed tertarik dengan personaliti Azri dan berharap Azri memenangi permainan itu. Siapakah yang akan memenangi permainan yang juga peperangan hebat ini?

Isnin, 15 Jun 2009

karya sains fiksyen yang unik: MANIPULASI

Tagline: ubah benda, adakan benda, tiadakan benda, itulah kuasa manipulasi

Qazem ialah seorang pemuda yang bekerja di sebuah kedai makan. Kehidupannya begitu sederhana. Di samping itu, Qazem mempunyai kebolehan untuk mengubah suatu benda kepada benda yang lain. Namun, dia bijak menyembunyikan kebolehannya itu. Satu hari, dia didatangi oleh seorang ahli silap mata terkenal bernama Iqram Don. Iqram Don mempunyai kebolehan untuk mewujudkan sebarang benda dengan mudah. Kebolehan yang ada pada Iqram dijadikan ‘modal’ untuk Iqram bermain silap mata sehingga menjadi terkenal. Iqram telah lama mencari manusia yang berkebolehan untuk memanipulasi benda seperti Qazem. Akhirnya, Iqram bertemu dengan Qazem dan menceritakan tujuan kedatangannya itu. Iqram ingin mengajak Qazem menyertainya untuk bergerak sebagai ahli silap mata secara berkumpulan. Pada mulanya Qazem tidak mahu kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya kepada sesiapa. Namun selepas dipujuk oleh Iqram, Qazem bersetuju untuk mengikuti Iqram. Mereka berdua pun menubuhkan kumpulan ‘Magic Men’ dan sering membuat persembahan silap mata di mana-mana tempat. Satu hari, seorang lelaki bernama Irfan yang berkebolehan untuk menghilangkan benda telah mensabotaj persembahan silap mata yang dilakukan oleh mereka. Irfan juga telah mengugut mereka berdua supaya berhenti daripada membuat persembahan silap mata. Jika mereka enggan, Irfan akan membunuh mereka dengan cara menghilangkan diri mereka.

Kini, mereka berdua terpaksa lari daripada Irfan. Mereka mula merancang strategi untuk menumpaskan Irfan yang juga salah seorang manusia yang mampu untuk memanipulasi benda. Saksikan pertembungan manusia-manusia yang luar biasa dengan kuasa mereka yang mampu untuk memanipulasi benda.

Ahad, 14 Jun 2009

karya drama meruntun emosi: Pada Syurga Di Wajahmu

Dr. Nur Akmal (DNA) ialah seorang pakar psikologi yang telah berjaya merawat Rohani, salah seorang pesakitnya daripada kemurungan melampau. Keluarga Rohani terhutang budi dengan DNA dan atas perancangan kedua-dua belah keluarga, DNA dan Rohani dinikahkan. Rohani sebenarnya telah jatuh cinta pandang pertama pada DNA. DNA pula sudah ada kekasih yang bernama Yasmin. Dia terpaksa berkahwin dengan Rohani untuk menjaga imej keluarganya. Sejak berkahwin, DNA tidak pernah menyentuh isterinya. Rohani pula faham bahawa DNA tidak pernah mencintainya. Rohani merupakan seorang isteri yang taat, bertanggungjawab, dan setia pada rumahtangganya. Dia tidak pernah menceritakan masalah rumahtangganya kepada sesiapapun termasuklah orang tuanya. DNA pula seorang suami yang bertanggungjawab menyediakan nafkah zahir dan tidak pernah menghina atau bersikap kasar pada Rohani. Di rumah mereka, DNA seorang yang pendiam dan memberi kebebasan kepada Rohani untuk menguruskan rumahtangga mereka. Cuma kelemahan DNA ialah DNA tidak pernah memberikan kasih sayang dan nafkah batin seperti yang sepatutnya kepada Rohani.

Suatu hari, DNA meminta kebenaran daripada Rohani untuk bernikah dengan Yasmin. Walaupun kecewa, Rohani membenarkan DNA berkahwin lagi. DNA juga meminta Rohani merahsiakan perkahwinan keduanya daripada sesiapapun terutamanya daripada keluarganya. Yasmin pula tinggal bersama dengan DNA dan Rohani di bawah satu bumbung yang sama. Apabila DNA pergi bekerja, Yasmin selalu membuli Rohani. Bagi Yasmin, Rohani lebih layak bergelar orang gaji daripada bergelar isteri pertama seorang doktor. Rohani memang dilayan seperti orang gaji. Apabila DNA pulang daripada bekerja, Yasmin berpura-pura baik dengan Rohani. DNA pula tidak kisah bagaimana hubungan Yasmin dengan Rohani. Yang penting baginya, Yasmin sudah dimiliki olehnya secara sah. DNA juga sering memberikan perhatian dan kasih sayang kepada Yasmin.

Kawan baik DNA yang merupakan seorang jurutera, Uzair pula sudah lama menaruh perasaan pada Rohani. Apabila mendapat tahu Rohani sudah berkahwin dengan DNA, Uzair sangat kecewa. Lama-kelamaan, Uzair dapat menerima hakikat yang sebenarnya bahawa dia tiada jodoh lagi dengan Rohani. Namun, keadaan mula berubah apabila DNA sering menceritakan tentang perasaan bencinya pada Rohani dan tekanan yang dihadapinya selepas berkahwin dengan Rohani. DNA berterus-terang kepada Uzair bahawa dia tidak pernah mencintai Rohani. DNA juga memberitahu bahawa dia tidak pernah memberikan nafkah batin kepada Rohani. Uzair seringkali menasihatkan DNA supaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan jangan sesekali mengabaikan Rohani. Namun, DNA tidak pernah mendengar nasihat Uzair. Akhirnya, Uzair merasakan Rohani seperti ditindas dan digantung tidak bertali. Uzair berazam untuk memisahkan Rohani dengan DNA kerana baginya, Rohani tidak layak untuk DNA. Uzair berazam ingin mengahwini Rohani.

Satu hari, mayat Yasmin ditemui di dalam rumah kediaman DNA. Yasmin dipercayai mati dibunuh. Rohani pula menghilang entah ke mana. DNA ditahan kerana disyaki membunuh Yasmin. Polis pula melancarkan gerakan memburu Rohani yang juga suspek pembunuhan itu. Sebelum dibawa ke lokap, DNA meminta kebenaran daripada polis yang menahannya untuk membawa diari peribadi kepunyaan Rohani. Entah mengapa tiba-tiba hatinya terdetik untuk membaca diari itu. Sepanjang ditahan di lokap, DNA telah membaca diari itu. Di dalam diari tu, Rohani menceritakan perasaan kasih sayangnya yang tulus kepada DNA. Rohani juga menceritakan tentang gangguan panggilan telefon daripada Uzair dan pembulian yang dilakukan oleh Yasmin kepadanya. Rohani juga menceritakan desakan Uzair supaya Rohani meninggalkan DNA. DNA mula mengesyaki sesuatu. DNA meminta bantuan peguam peribadinya, Tan Sri Badrudin untuk membebaskan dirinya daripada dakwaan membunuh Yasmin. Dalam masa yang sama, DNA meminta bantuan penyiasat peribadinya, Jason Thomas untuk mencari Rohani yang dipercayai dibawa lari oleh Uzair. Tan Sri Badrudin berjaya mendapatkan alibi untuk DNA sekaligus membebaskan DNA daripada dakwaan membunuh Yasmin. Kini, Rohani pula menjadi suspek utama pembunuhan itu.

Selepas dibebaskan daripada tahanan, DNA tekad untuk mencari Rohani dan meminta ampun daripadanya. DNA berazam untuk cuba menyayangi Rohani selagi boleh dan akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. DNA mula teringat akan nasihat Uzair dan mula kesal kerana kedegilannya dulu. Sementara itu, Rohani dan Uzair pula berada di selatan Thailand. Uzair ingin bernikah dengan Rohani sedangkan Rohani masih mencintai DNA. Seorang kenalan Jason, Tan Ze Chien dapat melarikan Rohani daripada cengkaman Uzair. Uzair dan konco-konconya dari Thailand memburu mereka.

Di Bukit Kayu Hitam, Perlis, Rohani dipertemukan dengan DNA. Bagaimanapun, mereka termasuklah Tan dan Jason telah dikepung oleh Uzair dan konco-konconya. Uzair telah berterus-terang pada DNA bahawa dialah yang membunuh Yasmin. Uzairlah yang telah menculik Rohani dan memerangkap DNA ke dalam kes pembunuhan ini. Sebenarnya, Uzair lakukan semua itu kerana tidak tahan dengan sikap DNA yang sering mengabaikan Rohani dalam rumahtangga mereka. Sejurus selepas Uzair membuat pengakuan itu, Tan dan Jason pun melepaskan tembakan kepada Uzair dan konco-konconya. Mujurlah Uzair sempat mengelak daripada terkena tembakan itu. Sementara DNA dan Rohani pula melarikan diri dari tempat pertempuran itu. Uzair yang menyedari tindakan DNA dan Rohani segera mengejar DNA dan Rohani berbekalkan sepucuk pistol. Bagaimanakah nasib DNA dan Rohani nanti?

Sabtu, 6 Jun 2009

karya aksi sains fiksyen superhero: Kimia D10

Latar masa: Februari 2010
Lokasi: Makmal Penyelidikan Damien, Kota Sains Raya

Prof. Damien telah melakukan satu eksperimen kimia untuk menggabungkan beberapa unsur kimia bagi menghasilkan sejenis bahan kimia yang unik. Bahan kimia yang dinamakan sebagai Kimia D10 ini berbentuk lendiran berwarna biru yang boleh dipegang dan bergetah serta tidak berbau. Mr.Q pula ialah seorang ahli perniagaan yang berminat untuk mendapatkan Kimia D10 kerana dia berpendapat Kimia D10 ada keistimewaannya yang tersendiri yang belum diketahui oleh Prof. Damien. Akhirnya, akibat tekanan yang dihadapi oleh Mr.Q dan orang-orangnya, Prof. Damien melarikan diri dari makmalnya dan bergerak sebagai pelarian.

Latar masa: Mac 2010
Lokasi: Belakang sebuah kedai jam, Kota Sains Raya

Prof. Damien dikepung oleh orang-orang Mr.Q. Prof. Damien tidak ada pilihan. Dia akhirnya menelan Kimia D10. Prof. Damien berubah menjadi manusia bergetah yang mempunyai kekuatan luar biasa.

Latar masa: Mei 2010
Lokasi: Markas Persenjataan Q Corp., Kota Sains Raya

Prof. Syamil berjaya mencipta bahan kimia klon kepada Kimia D10. Bahan kimia yang dinamakan sebagai Klon D10 itu bagaimanapun ada sedikit perbezaan dengan Kimia D10 ciptaan Prof. Damien. Klon D10 boleh dipotong sedangkan Kimia D10 tidak boleh dipotong. Akhirnya, Mr. Q sendiri telah menelan Klon D10 kerana terlalu obses akan kuasa luar biasa yang ada pada Prof. Damien. Mr. Q berubah menjadi raksasa getah yang sangat kuat serta kebal.

Apakah yang akan dilakukan oleh Prof. Damien yang kini memiliki kuasa luar biasa untuk menentang kejahatan dan keganasan raksasa getah yang juga Mr. Q itu?

karya aksi tembak-menembak terhebat: The Bullet

Benjamin ialah bekas anggota polis skuad penembak tepat yang telah dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Demi mencari kebenaran, Benjamin atau lebih dikenali sebagai Ben telah lari dari penjara dan bergerak secara sembunyi-sembunyi sebagai seorang pembunuh upahan yang bergelar The Bullet. The Bullet telah menawarkan diri untuk menjadi pembunuh upahan bagi beberapa buah kumpulan mafia yang berkuasa di Brand City. Selain itu, The Bullet juga telah bekerjasama dengan seorang pembuat dan pakar senjata api yang bernama Thomas. Sebenarnya, The Bullet sengaja melibatkan diri dalam dunia jenayah kerana beliau ingin mendapatkan kebenaran tentang penglibatan beberapa orang pegawai polis korupsi yang telah bersubahat dengan kumpulan-kumpulan mafia itu supaya kegiatan jenayah mereka tidak tergugat. Malah, pegawai-pegawai polis korupsi itulah yang telah menganiayai Ben sehingga Ben dipenjarakan dan dilucutkan jawatannya sebagai anggota polis Brand City.

The Bullet bukan calang-calang pembunuh upahan. The Bullet itu sendiri dinamakan kerana Ben memang handal dalam mengendalikan senjata api seperti pistol, senapang rifle, shotgun, mesingan, dan senapang penembak tepat (sniper). Apatah lagi, apabila The Bullet berkolaborasi dengan Thomas, menambahkan lagi kehebatannya. Persoalannya, apakah tindakan yang akan dilakukan seterusnya oleh The Bullet bagi membongkar sebuah kebenaran?

karya aksi seni pedang terhebat: Pedang Untuk Nyawanya

Tahajjud ialah anak kepada seorang pakar pembuat pedang yang bernama Tajuddin. Tajuddin telah dibunuh dengan kejam dan pedang-pedang buatannya telah dicuri. Mujurlah, Tahajjud telah diberikan sebilah pedang pusaka oleh arwah bapanya sebelum dia mengembara ke bandar. Tahajjud telah berlatih pedang dengan seorang pengamal pedang, Kazer untuk membalas dendam terhadap pembunuh bapanya. Kawan sekampungnya, Azrai telah menyaksikan kejadian pembunuhan itu dan bersedia untuk membantu Tahajjud bagi mengecam pembunuh Tajuddin. Sebenarnya, pembunuh Tajuddin ialah seorang ketua gangster ala yakuza dari Thailand yang bernama Rikishi dengan dibantu oleh orang kanannya yang bernama Jon. Berjayakah mereka menumpaskan Rikishi, Jon dan konco-konconya?

Jumaat, 5 Jun 2009

karya aksi seni bela diri terhebat: HANAFI WARAN

Hanafi Waran ialah seorang anak melayu yang telah lama berguru dengan Master Chin di Guangzhou, China. Master Chin telah mengajarkan segala ilmu wushu yang dikuasainya kepada Hanafi Waran dengan harapan Hanafi Waran dapat menjadi satu-satunya orang melayu yang menguasai seni bela diri itu dengan baik. Sebenarnya, Master Chin ialah kawan baik kepada arwah bapa Hanafi Waran iaitu Hj.Wazir, seorang pengamal silat melayu yang telah mati dibunuh oleh pengikutnya yang tidak setia yang diketuai oleh Awang Hitam. Apabila Hanafi Waran mendapat tahu berita bahawa bapanya itu telah mati dibunuh oleh Awang Hitam dan orang-orangnya, Hanafi Waran menjadi marah dan mula menyimpan dendam terhadap pembunuh arwah bapanya itu. Hanafi Waran tekad untuk pulang ke kampungnya, Kg.Mentera dan memburu Awang Hitam. Tetapi, Awang Hitam dan orang-orangnya sudah pun berhijrah dan menetap di Bandar Pusat. Awang Hitam kini menjadi ketua gangster jenayah yang sering membuat kacau di Bandar Pusat. Berjayakah misi Hanafi Waran untuk membalas dendam itu? Saksikan pertembungan antara dua seni bela diri yang terhebat, iaitu wushu dan persilatan melayu.