Isnin, 19 Oktober 2009

karya aksi sains fiksyen luar biasa: KACA

Kaer ialah salah seorang pekerja di sebuah kilang pemprosesan kaca, Glass Vior Factory milik Tn. Zamzuri Anas (TZA). Sebenarnya, dia mempunyai kebolehan luar biasa untuk mengawal kaca sama ada untuk menggerakkannya, memecahkannya, membentuk semula, melenturnya, atau membuat apa sahaja ke atas kaca hanya dengan menggunakan mindanya. Di tempat kerja, Kaer seorang pekerja yang rajin dan pendiam. Kaer sebenarnya ingin mengumpul wang simpanan sebanyak yang mungkin untuk digunakan semasa perkahwinannya nanti yang dijangka akan berlangsung pada bulan hadapan. Tunangnya, Anis, tidak sabar-sabar untuk mempercepatkan perkahwinan mereka itu. TZA pula mengetahui akan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kaer. TZA sebenarnya ketua bagi satu organisasi rahsia, Abyx, yang menjalankan misi pembunuhan ke atas orang-orang penting (VIP) yang terdiri daripada ahli perniagaan dan ahli politik. TZA yang mengetahui kelebihan Kaer, telah merekrut Kaer untuk bekerja sebagai pembunuh upahan bagi Abyx. Sebagai ganjaran, Kaer akan diberikan wang upahan yang cukup lumayan. Oleh sebab tidak tahan didesak oleh Anis supaya mempercepatkan perkahwinan mereka, Kaer terpaksa menerima tawaran daripada TZA. Maka, bermulalah kehidupan Kaer sebagai pembunuh upahan bertopeng yang menggunakan kelebihan luar biasanya untuk membunuh VIP yang disasarkan oleh Abyx. Ramai VIP yang menjadi mangsa pembunuhan angkara Kaer. Sebenarnya, kerja-kerja pembunuhan yang dilakukan oleh Kaer telah dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa termasuklah Anis sendiri, atas arahan TZA. Malah, Anis juga tidak tahu kebolehan luar biasa Kaer. Ekoran kejadian pembunuhan VIP yang cara kematian mereka hampir sama, iaitu ditusuk dengan serpihan kaca, maka pegawai penyiasat dari PDRM, ASP Anuar, berusaha merungkai misteri pembunuhan ini, dan menjejaki pembunuh bertopeng yang digelar Dewa Kaca oleh masyarakat awam. Dewa Kaca dinamakan kerana ada saksi yang terlihat keluarbiasaan yang ada pada Kaer.

Pada suatu malam, ketika Anis ingin pulang dari tempat kerjanya, seorang penembak tepat, Romero dari Abyx telah menembak mati Anis secara hendap. Anis mati akibat satu das tembakan di kepalanya. Kejadian itu berlaku sepantas kilat. Namun, kamera pengawasan CCTV sempat merakamkan kejadian itu.

Kematian Anis yang begitu tragik ini, memberi kedukaan yang teramat sangat kepada Kaer. ASP Anuar, telah menunjukkan rakaman CCTV kejadian pembunuhan itu. Setelah itu, Kaer diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Kaer mengesyaki TZA ialah dalang bagi kes pembunuhan Anis. Setelah menonton rakaman CCTV itu, Kaer kenal benar akan corak pembunuhan yang dilakukan oleh Abyx yang begitu professional, teliti, dan cepat. Tambahan pula, TZA bimbang jika Anis mengetahui kejahatan Abyx. Kaer meminta penjelasan daripada TZA. Sangkaan Kaer ternyata benar. Kaer sangat marah dan cuba menyerang TZA dan konco-konconya. Namun, TZA mempunyai alat yang dapat menghentikan kuasa Kaer serta-merta. Alat itu juga dibuat daripada kaca khas yang dihasilkan di Glass Vior Factory sendiri. Kaer rebah di situ juga.

Kini, Kaer dikurung di penjara yang dibuat daripada kaca khas yang sama seperti alat milik TZA itu. Namun, Kaer tidak dapat memecahkan kaca khas itu. Kaer seakan lemah apabila berhadapan dengan kaca khas itu. Barulah Kaer menyesal kerana melibatkan diri dalam jenayah yang didalangi oleh Abyx dan TZA.

Riz, seorang pemuda menganggur yang selalu merayau di kaki lima dan lorong-lorong sepi di ibu kota. Dia kelihatan seperti tidak terurus dengan rambutnya yang panjang mencecah bahu, dan jambang serta misainya yang lebat. Tetapi, tak siapa tahu bahawa Riz juga mempunyai kebolehan yang sama seperti Kaer. Malah, Riz juga handal dalam menyiasat. Riz dapat mengetahui tentang Kaer, Anis, TZA, Romero, dan Abyx, melalui penyiasatannya sendiri. Kini, Riz akan membantu Kaer dalam memerangi kejahatan Abyx.

Berjayakah Kaer diselamatkan oleh Riz? Atau adakah Riz akan menerima nasib yang sama seperti Kaer? Mampukah mereka berdua menentang kejahatan Abyx?