Ahad, 24 Mei 2009

karya aksi perang terhebat: Cinta Hitam Panglima Helang

Dahulunya, dia seorang panglima tentera kerajaan Selatan Jaya. Dia cukup digeruni dan dihormati kerana kehandalannya bertempur di medan perang. Satu hari, dia telah dipertemukan dengan Puteri Salbiah, puteri tunggal Raja Syamil yang merupakan tunangan Putera Inderawan. Panglima Helang dan Puteri Salbiah akhirnya saling jatuh cinta. Raja Syamil sangat kecewa apabila mendapat tahu Panglima Helang dan Puteri Salbiah telah membuat hubungan terlarang. Setelah mendengar penjelasan daripada Puteri Salbiah, akhirnya Raja Syamil membenarkan Panglima Helang dan Puteri Salbiah untuk lari meninggalkan istana. Penasihat diraja, Bendahara Wan Teja telah mencadangkan kepada Raja Syamil untuk memerangi Panglima Helang dan mendapatkan semula Puteri Salbiah. Anaknya, Pendekar Jagat dilantik sebagai panglima tentera kerajaan Selatan Jaya yang baru. Akhirnya, Raja Syamil yang sebenarnya sayangkan Panglima Helang terpaksa akur bahawa Panglima Helang wajar dianggap penderhaka negara. Manakala, Panglima Helang dan Puteri Salbiah sudah bernikah dan dikurniakan seorang anak lelaki. Apabila Panglima Helang mendapat tahu tentera kerajaaan ingin menyerangnya, dia mengumpulkan orang-orang kampung yang gagah berani untuk menyertainya. Dia terpaksa bertindak kerana dia terlalu sayangkan Puteri Salbiah dan anaknya itu. Pada peperangan pertama, tentera Panglima Helang berjaya menewaskan tentera pimpinan Pendekar Jagat yang mana Pendekar Jagat terbunuh dalam pertempuran ini. Beberapa bulan kemudian, Putera Inderawan pula memimpin tentera kerajaan yang sangat ramai digabungkan dengan tentera kerajaan ayahnya, Raja Andrawan. Misi Putera Inderawan ialah membunuh Panglima Helang dan mendapatkan semula Puteri Salbiah tanpa mengetahui bahawa Puteri Salbiah sudah pun mempunyai anak. Bendahara Wan Teja turut menyertai peperangan ini demi membalas dendam atas kematian anaknya. Bagaimanakah nasib Panglima Helang dalam peperangan ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan