Ahad, 30 Ogos 2009

karya aksi sains fiksyen penuh kecanggihan teknologi: Kamera Penghenti Masa (Time-Stopper Camera @ TSC)

Seorang pembuat kamera bernama Muhaimin telah bekerjasama dengan sahabat baiknya yang juga seorang saintis fizik dari Amerika Syarikat, Prof. Grey Richard, dalam usaha untuk menghasilkan sebuah kamera berteknologi tinggi yang mampu untuk menghentikan masa. Akhirnya, atas usaha mereka berdua yang tidak pernah kenal erti putus asa, TSC berjaya dihasilkan. Namun, mereka merancang untuk merahsiakan ciptaan mereka daripada pengetahuan sesiapapun.

Beberapa bulan kemudian, mayat Muhaimin dan Prof. Grey Richard ditemui di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Pihak polis mengesyaki bahawa mereka berdua mati dibunuh. Seorang pakar forensik, Dr. Aizam, telah ditugaskan untuk menyiasat kejadian pembunuhan itu. Dr. Aizam berjaya menemui sebuah diari catatan milik Muhaimin yang turut menceritakan tentang TSC. Muhaimin menceritakan tentang seorang lelaki misteri yang kerap menghubunginya semata-mata untuk mendapatkan TSC. Kini, Dr. Aizam perlu mencari TSC seperti apa yang dinyatakan oleh Muhaimin. Muhaimin bimbang TSC disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu termasuklah lelaki misteri itu.

Lelaki misteri itu bernama Qayyum, seorang pakar fizik yang telah lama mengikuti perkembangan eksperimen saintifik yang dilakukan oleh Muhaimin dan Prof. Grey Richard. Dialah yang mencuri TSC dan membunuh mereka berdua. Qayyum sebenarnya ingin menunjukkan TSC kepada anaknya, Qazer, untuk membuktikan kepada anaknya bahawa masa boleh diberhentikan. Sebelum ini, Qayyum pernah mengemukakan teori bahawa masa dapat diberhentikan dengan menggunakan kaedah dan teknologi fizik tertentu. Teori itu telah dibentangkan di Akademi Sains Dunia (World Science Academy) di Sweden. Namun, teori Qayyum telah menjadi bahan ketawa di sana. Qayyum dianggap sebagai ahli sains yang gila. Cuma, dua orang manusia sahaja yang percaya akan teori itu, iaitu Muhaimin dan Prof. Grey Richard. Qazer yang tidak meminati sains juga mencabar ayahnya supaya membuktikan teori masa dapat berhenti itu.

Akhirnya, Qazer percaya akan teori ayahnya. Dia mencadangkan supaya ayahnya memperkenalkan TSC di Akademi Sains Dunia sekaligus dapat membuktikan teorinya itu. Qazer berharap ayahnya dapat memenangi hadiah Nobel dalam bidang fizik. Malah, Qazer mula menunjukan minat dalam bidang sains terutamanya fizik. Qayyum pula tidak bersetuju dengan cadangan anaknya kerana bimbang rahsia pembunuhan yang pernah dilakukannya akan terbongkar. Qayyum meminta supaya Qazer menggunakan TSC dengan sebaik-baiknya. Mulai saat itu, TSC menjadi gadget kesayangan Qazer.

Dr. Aizam akhirnya mengetahui rahsia sebenar tentang siapa sebenarnya lelaki misteri yang bernama Qayyum itu. Dr. Aizam berjaya mendapatkan profil dan maklumat terperinci tentang Qayyum yang juga saintis fizik terkenal di Malaysia. Kini, pihak polis memburu Qayyum untuk mendapatkan semula TSC. Namun, Qayyum telah melarikan dirinya ke Ukraine sejak awal-awal lagi. Adakah TSC kesayangan Qazer akan dirampas oleh pihak berkuasa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan