Ahad, 30 Ogos 2009

karya aksi adi wira penentang jenayah: ZTG (Zacharon & The Gang)

Di Trek City, jenayah semakin berleluasa. Sekumpulan gangster dikenali sebagai Trekky Trojan yang diketuai oleh Jason telah menghuru-harakan Trek City. Bank-bank besar telah berjaya dirompak. Balai-balai polis kerap diletupkan. Orang awam ditembak sesuka hati. Seolah-olah, Trek City sudah tidak ada undang-undang. Polis pula gagal menjalankan tugas mereka untuk membendung jenayah yang dilakukan oleh Trekky Trojan. Orang awam yang lain mula berani bertindak melanggar undang-undang. Kini, Trek City tidak aman lagi dan kegiatan jenayah berada dalam tahap paling maksimum. Bandar itu sudah diisytiharkan darurat oleh Perdana Menteri di Trek City. Malah, Perdana Menteri sendiri telah melarikan diri ke luar negara dan membiarkan Trek City huru-hara.

Di saat huru-hara yang tidak henti-henti berlaku, muncullah Zacharon, wira misteri yang bertopeng, berpakaian serba canggih, dan memiliki senjata pelbagai guna yang begitu canggih. Wira ini mampu terbang dengan bantuan pakaian canggihnya itu. Beliau muncul untuk menghapuskan jenayah di Trek City dan bertindak dengan caranya yang tersendiri. Beliau kerap menyelamatkan orang awam yang tidak berdosa dan membantu mereka keluar dari Trek City untuk ke tempat lain yang lebih aman. Kemunculan Zacharon telah mencetuskan semangat keberanian kepada skuad polis yang sebelum ini takut untuk bertindak apa-apa. Skuad polis Trek City diketuai Insp. Adam telah bekerjasama dengan Zacharon untuk membanteras jenayah. Misi mereka yang utama ialah untuk melumpuhkan Trekky Trojan dan memburu Jason yang tidak pernah mereka ketahui akan identitinya.

Jason pula membubarkan Trekky Trojan dan membiarkan anak-anak buahnya untuk bergerak sendirian sebagai penjenayah. Beliau pula menggunakan identiti baru iaitu The Hunter untuk ‘bekerjasama’ dengan Zacharon sebagai penentang jenayah. Beliau ingin menumpaskan Zacharon dari dalam.

Sebelum The Hunter menemui Zacharon, seorang anggota skuad bom bergelar The Big Bang tampil menyertai Zacharon. The Big Bang yang bertopeng, memliki senjata bom dan mahir untuk mencipta, meletupkan, dan memusnahkan bom. Seorang gadis yang handal menggunakan pedang bergelar Samurai Girl, juga menyertai perjuangan Zacharon. Seorang lelaki yang memiliki kekuatan luar biasa serta kebal, dikenali sebagai Hulky, turut sama tampil berjuang bersama-sama Zacharon sehingga tertubuhnya Zacharon & The Gang (ZTG). Insp. Adam yang bertopeng menggunakan nama The Sniper, juga menyertai ZTG tanpa pengetahuan ZTG dan skuad polis pimpinannya. Akhir sekali, barulah The Hunter yang turut tampil bertopeng dan bertopi ala-mafia, menyertai ZTG. Zacharon tidak mengetahui pun tentang siapa sebenarnya The Hunter.

Perjuangan ZTG akhirnya berjaya mengembalikan keamanan kepada Trek City. Bandar itu sudah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada darurat dan kegiatan jenayah pun berjaya dihapuskan. Perdana Menteri juga turut pulang semula ke Trek City. Ramai penjenayah terbunuh. Ada juga yang berjaya ditangkap, dan ada juga yang menyerah diri kerana takut dengan kekuatan ZTG. Bekas-bekas anggota Trekky Trojan juga turut berjaya ditahan. Namun, mereka tidak tahu pun di mana Jason berada. Mereka tidak tahu pun yang Jason sekarang ini bergerak sebagai The Hunter dan berada dalam ZTG.

Satu hari, berlakulah pembunuhan ke atas Perdana Menteri Trek City. Pembunuhan ini telah mencetuskan konflik antara pihak polis dengan ZTG. Hal ini kerana saksi pembunuhan itu mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh salah seorang anggota ZTG iaitu The Hunter. Kini, ZTG dianggap sebagai penjenayah paling dikehendaki pula. The Sniper pula membongkar identiti sebenarnya bahawa dialah Insp. Adam. Dia terpaksa melakukannya untuk membersihkan nama ZTG sebagai sebuah kumpulan penentang jenayah. Anggota ZTG yang lain terkejut apabila mengetahui siapa sebenarnya The Sniper. The Hunter pula menghilangkan diri dan bergerak sebagai penjenayah solo. The Hunter semakin berani melakukan jenayah terang-terangan dan mencabar anggota ZTG yang lain untuk menentangnya secara terbuka. Selepas nama baik ZTG berjaya dibersihkan, ZTG kini mempunyai misi yang lebih penting, iaitu menghapuskan The Hunter dan kegiatan jenayahnya. Adakah mereka akan tahu siapa sebenarnya The Hunter itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan