Isnin, 31 Ogos 2009

karya aksi robotik terhebat: Skull Corp.

Sebuah syarikat yang menghasilkan tulang-tulang robotik berteknologi tinggi, Skull Corp., diterajui oleh seorang bekas santis bioteknologi yang terkenal di Kota Logan, Prof. Shazy. Skull Corp. pada dasarnya ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit yang hilang upaya seperti kudung tangan dan kaki, juga pesakit-pesakit yang mengalami patah tulang akibat kemalangan. Tulang-tulang robotik telah dicipta sendiri oleh Prof. Shazy dengan dibantu oleh barisan saintis-saintis yang pakar dalam pelbagai bidang. Salah seorang saintis yang membantu Prof. Shazy bernama, Dr. Fred, mempunyai agenda yang jahat. Beliau mahu Skull Corp. dijadikan pusat utama untuk menghasilkan tentera robotik dengan menggunakan teknologi yang ada di Skull Corp. Bukan itu sahaja, malah, Dr. Fred berniat untuk menjatuhkan Prof. Shazy dan menguasai sepenuhnya Skull Corp.

Dr. Fred mengupah seorang pembunuh upahan professional bernama Ven, untuk membunuh Prof. Shazy. Prof. Shazy sebenarnya telah lama mengetahui akan niat jahat Dr. Fred. Oleh sebab itulah, Prof. Shazy telah meminta saintis-saintis yang setia padanya untuk melakukan pembedahan khas untuk mengubah diri Prof. Shazy kepada manusia separuh robot yang memiliki kekuatan luar biasa. Tengkorak kepala Prof. Shazy telah digantikan dengan tengkorak platinum yang dilengkapi teknologi tinggi serta kalis peluru dan api. Malah, otak Prof. Shazy juga telah dimasukkan dengan sejenis cecair kimia khas untuk disesuaikan dengan tengkorak baru Prof. Shazy. Namun, wajah Prof. Shazy tetap dipastikan tidak berubah walaupun telah menggunakan kulit polimer sintetik yang baru. Sistem saraf yang ada di tubuh Prof. Shazy juga telah dinaik taraf dengan dimasukkan wayar-wayar saraf buatan untuk memberikan kekuatan luar biasa kepada Prof. Shazy. Kini, Prof. Shazy bukan lagi manusia biasa kerana 60% dari dirinya terdiri daripada komponen-komponen berteknologi tinggi atau kata lain sebagai komponen robotik.

Misi Dr. Fred untuk membunuh Prof. Shazy tidak tercapai apabila Ven mati di tangan Prof. Shazy yang kini bergelar Skull. Skull tidak dapat mengawal dirinya akibat kesan sampingan daripada pembedahan khas itu. Dia berubah menjadi ganas dan seolah-olah diprogramkan untuk membunuh sesiapa sahaja. Malah, saintis-saintis yang setia padanya dahulu, pun berpaling tadah kerana mereka sedar Skull bukan lagi Prof. Shazy yang dulu. Mereka mula menyokong Dr. Fred untuk menjadi CEO Skull Corp. sekaligus sebagai ketua mereka di Skull Corp. Tercapai juga hasrat Dr. Fred untuk menguasai Skull Corp. setelah Skull membawa dirinya untuk mengganas di Kota Logan. Sebenarnya, mereka tidak tahu pun akan agenda jahat Dr. Fred.

Satu mesyuarat tergempar diadakan khusus untuk menangani keganasan yang sedang dilakukan oleh Skull. Dr. Fred bertindak sebagai pengerusi majlis. Beliau mengusulkan supaya pasukan tentera robotik dihasilkan dengan kadar yang segera dan dalam kuantiti yang banyak, dengan tujuan untuk menghapuskan Skull. Pada awalnya, mereka membantah kerana mereka masih menganggap Prof. Shazy ada dalam diri Skull. Namun, selepas Dr. Fred berhujah panjang tentang akibat buruk yang bakal melanda warga Kota Logan, mereka terpaksa bersetuju dengan cadangan Dr. Fred itu. Teknologi yang ada di Skull Corp. telah digunakan untuk menghasilkan tentera robotik itu. Pasukan tentera robotik itu dinamakan sebagai RoboWarrior-X (RWX). Pasukan RWX telah dikawal sepenuhnya oleh Dr. Fred dan bergerak atas arahan Dr. Fred. Dr. Fred telah mengarahkan supaya RWX menghapuskan Skull, para saintis di Skull Corp., dan orang awam yang tidak berdosa. Maka, RWX mulalah mengganas di Kota Logan.

Para saintis Skull Corp. barulah menyedari bahawa Dr. Fred sebenarnya mempunyai agenda jahat yang tidak pernah mereka sedari sebelum ini. Mereka tidak mampu untuk bertindak apa-apa kerana Dr. Fred sudah pun menyimpan semua rahsia teknologi di Skull Corp. dan menguasai keseluruhan sistem di Skull Corp. Harapan mereka cuma satu. Berharap Skull dapat kembali semula kepada Prof. Shazy untuk menentang kejahatan Dr. Fred dan pasukan RWX itu. Skull yang menghadapi tentangan hebat daripada RWX mula mengalami kecelaruan personaliti. Skull melihat sendiri keganasan yang dilakukan oleh RWX ke atas orang awam di Kota Logan. Akhirnya, imbasan-imbasan peristiwa lampau mengingatkan Skull akan siapa sebenarnya dia. Barulah Skull menyedari bahawa diri sebenarnya ialah Prof. Shazy, CEO Skull Corp. Skull menyedari bahawa RWX itu sebahagian daripada rancangan jahat Dr. Fred untuk menjatuhkannya. Akhirnya, Prof. Shazy sudah pun kembali. Kali ini, dia muncul untuk menentang kejahatan Dr. Fred dan pasukan RWX. Sebahagian para saintis Skull Corp. yang masih hidup bersyukur kerana Prof. Shazy sudah pun pulih daripada kesan sampingan itu.

Berjayakah Prof. Shazy menentang kejahatan yang sedang berleluasa di Kota Logan itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan