Isnin, 31 Ogos 2009

karya aksi fantasi penuh luar biasa: Pingat Sakti Dari Mesir

Amer ialah seorang pelajar tahun akhir jurusan arkeologi, telah mengembara ke Mesir bagi menjalankan penyelidikan di sana, untuk melengkapkan tesisnya. Pensyarah yang menyelianya, Prof. Esma, turut mengikuti Amer untuk membantu Amer melaksanakan tugasannya itu. Setibanya di Mesir, Amer dan Prof. Esma telah dibawa oleh seorang anak Malaysia yang bekerja sebagai pemandu pelancong, Rez, untuk ke salah sebuah piramid Firaun. Setibanya mereka di hadapan piramid itu, Amer secara tidak sengaja telah tersepak sesuatu. Setelah diselidik, barulah Amer menemui sesuatu yang disepaknya itu. Ia adalah sebuah pingat emas yang memancarkan kilauannya. Secara spontan dan tidak disengajakan, Amer memakai pingat itu. Satu kuasa sakti keluar dari pingat emas itu dan memasuki tubuh Amer. Amer meraung kesakitan dan akhirnya pengsan.

Amer terlantar tidak sedarkan diri di salah sebuah hospital di Kaherah. Rez telah mengambil pingat emas itu. Manakala, Prof. Esma setia menemani Amer. Doktor yang merawat Amer tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan Amer dilaporkan sangat sihat. Malah, sistem tubuh badannya berada dalam keadaan yang sangat baik. Kes Amer ini merupakan kes paling pelik pernah mereka temui. Selepas beberapa hari, Amer sedar daripada koma. Amer memberitahu akan mimpinya semasa koma, kepada Prof. Esma.

Dalam mimpi itu, berlatarbelakangkan zaman awal Tamadun Mesir Purba dan kerajaan diperintah oleh Firaun. Para ahli sihir Firaun diperintahkan untuk menyalurkan semua kuasa sihir mereka ke atas salah sebuah pingat emas yang menjadi khazanah kerajaan paling berharga. Maka, para ahli sihir itu pun akur akan perintah Firaun. Akhirnya, Firaun memiliki sebuah pingat sakti yang di dalamnya mengandungi kuasa sihir yang luar biasa. Pingat itu disimpan sendiri olehnya. Namun, Firaun tak pula memakai pingat itu kerana baginya, dialah Tuhan. Dia lebih berkuasa daripada pingat sakti itu. Salah seorang pembesar di istana Firaun, Ramses, berazam untuk memiliki pingat itu untuk menjadi manusia berkuasa. Ramses ingin menguasai kerajaan. Maka, berlakulah pembunuhan Firaun yang dilakukan oleh Ramses. Ramses merampas pingat itu dan memakainya. Ramses berubah menjadi manusia yang memilki kekuatan dan kuasa yang luar biasa. Para ahli sihir yang setia pada Firaun, berjaya ditumpaskan oleh Ramses dengan mudah. Ramses memusnahkan apa sahaja di sekelilingnya sehingga mengubah bandar Mesir Purba menjadi padang jarak padang tekukur. Iblis yang memberikan kuasa sihir itu marah dengan tindakan Ramses lalu menghapuskan Ramses sehingga mayat Ramses menjadi debu-debu halus. Pingat itu pula mendapat kuasa sihir itu semula, lalu ia tertimbus di dasar pasir gurun untuk berkurun-kurun lamanya. Sehinggalah, Amer menemui pingat itu semula dan memakainya.

Prof. Esma memberitahu bahawa Rez telah menyimpan pingat itu. Dia tidak tahu pun bagaimana dan di mana Rez akan menyimpan pingat itu. Amer mengajak Prof. Esma untuk mendapatkan kembali pingat itu dan menyimpannya di tempat asalnya semula. Mereka mesti mencegah Rez daripada memakai pingat itu. Amer pula menyesal kerana telah memakai pingat itu. Dia bimbang nasibnya akan sama seperti Ramses. Ternyata Amer memiliki kuasa sakti. Amer mampu untuk menembusi dinding, terbang, melompat jauh, mengeluarkan aura yang mampu memusnahkan apa sahaja, tidak cedera, dan mampu menjadi halimunan. Misi mereka ialah mencari Rez dan mendapatkan pingat itu semula.

Rez pula memakai pingat itu, tetapi tidak dapat memilki kesaktian. Dia sudah lama mencari pingat itu dan sudah lama mengetahui sejarah legenda keluarbiasaan pingat emas itu. Dia berharap dia akan menjadi manusia berkuasa seperti Ramses. Sebenarnya, Rez seorang atheis yang tidak percaya pada sebarang agama. Namun, dia seorang yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Setelah diselidiki, barulah Rez sedar bahawa kuasa sakti pingat itu sudah dimiliki oleh Amer. Kali ini, satu rancangan jahat yang rapi perlu disusun untuk memperdayakan Amer dan mengambil semula kuasa itu. Rez perlu memaksa Amer memindahkan semula kuasa sakti itu ke dalam pingat emas itu, dengan cara Amer memakai semula pingat emas itu. Selepas itu, barulah Rez memakai pingat itu dan mengambil kuasa sakti itu semula. Dengan kata lain, pingat emas itu menjadi perantara perpindahan kuasa antara Amer dengan Rez. Namun, setujukah Amer dengan rancangan Rez itu nanti?

Amer mendapat panggilan kecemasan dari pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM). Kakaknya telah diculik oleh sekumpulan penculik bertaraf antarabangsa. Penculik yang didalangi oleh lelaki bernama Colombo, menuntut RM 10 juta daripada kerajaan Malaysia. Amer terpaksa melupakan hasratnya untuk menemui Rez, dan meminta Prof. Esma mencari Rez untuknya. Dengan kuasa sakti yang ada padanya, Amer terbang ke Malaysia. Berjayakah Amer menyelamatkan kakaknya dan kembali sebagai manusia biasa semula? Adakah matlamat Rez untuk menjadi manusia berkuasa seperti Ramses akan tercapai?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan