Sabtu, 16 April 2011

karya aksi sains fiksyen: The Matrix: Uploading The New World



Dalam The Matrix Revolutions, The Machines bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata dengan pihak manusia yang mendiami Kota Zion sekiranya Neo berjaya menumpaskan Smith dalam dunia The Matrix. Akhirnya, dengan kebijaksanaan Neo dibantu oleh kuasa The Machines, Smith berjaya dihapuskan. The Architect yang mencipta The Matrix pula bersama-sama dengan The Oracle, kedua-duanya bersetuju untuk mencabut plug semua manusia yang disambungkan ke dalam The Matrix, untuk membebaskan manusia ke dunia realiti, iaitu hampir tahun 2199.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 2202 di dunia realiti, kota Zion dikejutkan dengan serangan demi serangan Sentinels yang dihantar oleh The Machines. Neo yang kini berjawatan sebagai Kapten Kapal Nebuchadnezzar (menggantikan Morpheus yang telah mati) terkejut dengan serangan ini yang disifatkan sebagai pelanggaran perjanjian gencatan senjata antara The Machines dengan pihak manusia Kota Zion. Keadaan di Kota Zion mula menjadi tidak terkawal dan huru hara. Ramai manusia yang mendiami kota itu terkorban akibat serangan itu. Neo mula merasakan sesuatu yang tidak kena telah berlaku pada sistem kawalan The Machines. Lalu, Neo mula menggerakkan kapal Nebuchadnezzar untuk menuju ke Kota The Machines untuk bersemuka sendiri dengan deus ex machine iaitu tuan kepada The Machines. Neo dibantu oleh krew-krewnya iaitu Kid, Niobe (dah bersara daripada jawatan Kapten Kapal Logos), dan Link. Sementara Komander Lock (panglima tentera Kota Zion) berusaha untuk mempertahankan Kota Zion dengan dibantu oleh armada tenteranya.

Dalam perjalanan kapal Nebuchadnezzar menuju ke Kota The Machines, Neo telah mengaktifkan semula sistem The Matrix yang sudah lama tidak dihidupkan. Neo dibantu oleh Link (yang berpengalaman sebagai operator The Matrix-Dunia Realiti) telah memuat atas (upload) sistem The Matrix. Selepas The Matrix berjaya dihidupkan, hanya Neo sahaja yang telah memasuki The Matrix untuk berjumpa dengan The Architect dan The Oracle. Sebaik sahaja Neo berjaya sampai ke dalam The Matrix, Neo melihat suasana di dalam The Matrix sunyi sepi tidak berpenghuni kerana ramai manusia sudah dicabut plug mereka dan mereka semua sudah dibebaskan dari dunia The Matrix, dan ini bererti The Architect dan The Oracle telah mengotakan janji mereka. Ketika Neo berjalan-jalan di satu bandar, Neo telah terserempak dengan Seraph (orang kanan The Oracle satu ketika dahulu). Seraph yang tidak bersenjata terus menyerang Neo, dan Neo terpaksa membalas serangan itu. Seraph seolah-olah seperti dikawal oleh pihak ketiga. Selepas berhempas pulas dalam pergaduhan itu, Neo terpaksa menggunakan kuasanya dan akhirnya Seraph tumpas jua dan terkorban. Neo semakin tidak mengerti dan berazam untuk berjumpa dengan The Oracle untuk mengetahui cerita sebenar.

Dalam perjalanannya, Neo telah terserempak dengan Smith (musuh lamanya yang disangka sudah mati). Smith mendakwa bahawa dia berjaya mengawal sistem The Machines dan sekaligus dunia The Matrix berada dalam kawalannya juga. Smith mendakwa dialah yang menghantar Sentinels untuk menyerang Kota Zion. Pada awalnya, Neo tidak percaya dan cuba menyerang Smith, tetapi Smith dengan mudah memberhentikan pergerakan Neo. Smith kelihatan sangat berkuasa di dalam dunia The Matrix. Sebelum Smith beredar, Smith hanya berkata, “setiap penamat ada permulaannya”, dan Smith terus menghilang dari pandangan Neo.

Neo semakin keliru dengan situasi ini. Beberapa jam kemudian, Niobe dan Kid muncul ke dalam dunia The Matrix dan berjumpa dengan Neo. Neo, Niobe, dan Kid kemudiannya pergi ke sebuah rumah usang yang mana didakwa mereka sebagai tempat The Architect dan The Oracle bersembunyi. Tepatlah sangkaan mereka itu. The Architect hanya tersenyum dan mendakwa The Matrix bukan lagi dunia simulasi realiti yang perlu dibanggakan. Katanya, The Matrix sudah lama berkubur sejak tamadun Kota Zion meningkat. The Oracle pula berkata hanya Neo sahaja yang mampu untuk menentang dan menghapuskan Smith. The Oracle memberitahu bahawa Smith lah yang telah mengawal Seraph ke arah kejahatan. Namun, Smith mempunyai satu kelemahan iaitu dia tidak mampu untuk mengawal The Architect dan The Oracle. Neo bertanyakan tentang bagaimana caranya untuk menumpaskan Smith. The Architect terus menjawab, “hapuskan segala yang memulakan, dengan tujuan untuk menamatkan”. Kemudian, Neo, Niobe, dan Kid mendapat panggilan daripada Link supaya mereka keluar dari dunia The Matrix dengan kadar yang segera.

Di dalam kapal Nebuchadnezzar, mereka melalui satu kawasan yang dipenuhi oleh Sentinels dan telah menyerang Sentinels tersebut dengan sedaya upaya mereka. Semua krew kapal tersebut telah mengambil posisi masing-masing dan serangan demi serangan dilancarkan. Sementara itu, Kota Zion sudah lumpuh sepenuhnya selepas Komander Lock terkorban. Terdapat juga beberapa orang manusia yang terselamat dalam serangan itu dan Sentinels telah menawan mereka semua. Sentinels mula mengambil posisi masing-masing dan mula berkerja untuk membangunkan Kota Zion semula dengan meletakkan mesin-mesin dan bangunan robotik berteknologi tinggi. Manakala manusia-manusia yang ditawan itu, hanya mampu melihat kerja-kerja tersebut dilakukan dalam serba kebingungan dan ketakutan.

Kapal Nebuchadnezzar berjaya melepasi kawasan yang dipenuhi Sentinels itu selepas mengaktifkan EMP. Kemudiannya, Neo menceritakan segala apa yang terjadi di dalam dunia The Matrix kepada krew-krew kapalnya. Link merasakan Smith hanya menipu sahaja dan Smith sebenarnya tidak wujud ataupun Smith itu hanya sekadar virus yang telah menceroboh sistem The Matrix. Link mencadangkan supaya Neo yang pernah menjadi penggodam untuk menggodam semula The Matrix. Maka bermulalah kerja-kerja penggodaman yang dilakukan oleh Neo dengan dibantu oleh Link. Kid dan Niobe pula telah masuk semula ke dalam The Matrix untuk mencari Smith. Selepas beberapa jam, mereka berjaya menjumpai sejenis virus yang sangat kuat dan mereka mengenalpastinya sebagai Smith. Smith sebenarnya ialah virus yang telah tercipta semula selepas pemusnahan program Agent Smith yang dilakukan oleh deus ex machine. Virus ini telah menguasai sistem kawalan yang mana satu ketika dahulu dikawal oleh The Architect. Malah, sistem kawalan tersebut berjaya menerobos keluar daripada The Matrix dan mengawal deus ex machine dan The Machines pula di dunia realiti. Sementara itu, Neo meminta supaya dia dimasukkan ke dalam The Matrix untuk mencari Smith yang dipercayai sedang berada di dalam pusat kawalan The Matrix. Link yang menggodam The Matrix telah memuat atas (upload) semua kekuatan dan kuasa luar biasa kepada Neo termasuklah kekebalan daripada serangan dan kawalan Smith. Hasilnya, Neo berjaya bebas daripada kawalan Smith. Malangnya, Niobe dan Kid telah dikawal oleh Smith dan mereka berdua diarahkan untuk menyerang Neo pula. Link berusaha untuk menghapuskan kawalan itu tetapi gagal. Niobe dan Kid pula menyerang Neo bertubi-tubi dan Neo terpaksa mempertahankan dirinya dengan melakukan serangan balas. Selepas beberapa lama pertarungan itu, Neo berjaya menewaskan Niobe dan Kid dan mereka berdua terkorban sekaligus mati dalam dunia realiti. Neo sangat kesal dengan apa yang telah berlaku dan berazam untuk menamatkan Smith dengan memusnahkan sistem kawalan yang berada di pusat kawalan The Matrix yang mana Smith sedang mengawalnya. The Architect tiba-tiba muncul dan berkata, “musnahkan titik kawalan itu, titik permulaan tempat aku mula-mula mencipta The Matrix”. The Oracle pula tiba-tiba muncul dan berkata. “hanya The One yang boleh menamatkan peperangan ini, ingatlah itu”. Neo menyedari bahawa dirinya ialah The One yang sepatutnya menamatkan segala kejahatan yang berada di dalam The Matrix.

Sementara itu, Smith (dalam bentuk virus komputer) sedang mempertahankan dirinya daripada diserang oleh virus-virus baru yang telah dicipta oleh Link untuk menggodam sistem kawalan The Matrix. Di dunia The Matrix, virus-virus itu menyerupai ejen-ejen bersenjata yang sedang mengelilingi pusat kawalan The Matrix itu dan berusaha menceroboh pusat kawalan tersebut. Smith tidak mampu untuk mengawal mereka semua dan hanya mampu mempertahankan dirinya di pusat kawalan tersebut dengan senjata apinya. Tembak-menembak berterusan berlaku di dalam pusat kawalan tersebut. Neo pula berjaya sampai ke situ dan ejen-ejen itu terus membantu Neo untuk menumpaskan Smith. Smith sebenarnya telah meletakkan bom di dalam pusat kawalan itu dan terus mengaktifkan bom tersebut. Pusat kawalan The Matrix hancur menjadi debu akibat letupan itu dan ejen-ejen itu terkorban. Neo sempat terbang melarikan diri dari letupan itu sementara Smith sempat mengambil ‘titik kawalan’ yang dimaksudkan oleh The Architect iaitu sejenis remote control yang memberikannya kawalan ke atas dunia The Matrix dan dunia The Machines, dan Smith berjaya meloloskan dirinya dari letupan itu juga. Kini, Neo dan Smith bersemuka semula di tempat yang mana satu ketika dahulu Neo berjaya menumpaskan Smith. Neo menyedari remote control itulah yang perlu dihapuskan untuk menamatkan semua ini.

Di dunia realiti, deus ex machine berjaya meloloskan dirinya daripada dikawal oleh Smith. Sentinels yang berada di Kota Zion yang sedang berkerja di bawah arahan Smith dan sedang menawan manusia-manusia, terus membebaskan manusia-manusia tersebut. Kini, deus ex machine pula yang mengarahkan supaya kerja-kerja pembinaan semula Kota Zion diteruskan semula. Kapal Nebuchadnezzar yang sedang dipandu oleh Link akhirnya sampai ke Kota The Machines dan melihat Sentinels memberi laluan kepada kapal itu untuk bersemuka dengan deus ex machine. Link tahu bahawa Smith sudah tidak dapat mengawal The Machines lagi.

Di dunia The Matrix, Smith memberitahu hasrat hatinya iaitu dia ingin menjadi perintis kepada pembangunan semula The Machines dan ingin menjadikan Kota Zion sebagai markas terbaru The Machines. Malah, dia ingin menjadikan manusia-manusia yang ditawan di Kota Zion itu sebagai hamba abdi kepada The Machines. Itulah sebabnya dia telah melumpuhkan tamadun manusia di Kota Zion tersebut. Untuk memenuhi agenda jahatnya itu, dia perlu mengawal sistem The Matrix terlebih dahulu dan usahanya berjaya apabila dia berjaya menceroboh dan merampas remote control yang sebelum ini dipegang oleh The Architect. Neo kesal dengan perbuatan jahat Smith dan menjawab, “Smith, kau hanyalah program yang sepatutnya tidak wujud dan dari awal lagi kau perlu dipadamkan”. Sejurus tamat Neo melafazkan kata-kata itu, Neo terus melancarkan serangannya dan Smith turut membalas serangan itu.

Link pula bekerjasama dengan deus ex machine untuk menggodam lagi The Matrix dan menamatkan fungsi kawalan remote control itu. deus ex machine memberitahu sekiranya remote control itu dihapuskan, dunia The Matrix akan musnah sama sekali dan untuk melakukan ini, Neo perlu dikeluarkan dari dunia The Matrix terlebih dahulu. Pertarungan antara Neo dan Smith sangat sengit dan dengan segala kudrat yang ada, Neo berjaya menewaskan Smith. Neo terus pergi ke safe exit dan keluar dari dunia The Matrix. Smith yang kelihatan lemah tidak berdaya cuba untuk bangkit kembali. Selepas Neo berjaya kembali ke dunia realiti, deus ex machine telah meletupkan remote control itu sekaligus menyahaktif (deactivate) The Matrix. Dunia The Matrix musnah dalam sekelip mata bersama-sama Smith, The Architect, dan The Oracle. Akhirnya, dunia realiti kembali stabil dan aman semula. Neo dan Link berterima kasih kepada deus ex machine dan berhasrat untuk membina dunia baru tanpa melibatkan The Matrix lagi. Kota Zion akan menjadi tempat permulaan dunia baru itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan