Khamis, 25 Februari 2010

karya aksi perang dramatik: Waris Panglima Helang

Karya ini adalah kesinambungan karya ‘Cinta Hitam Panglima Helang’ (sila rujuk tarikh 24 Mei 2009). Putera Inderawan telah pula memimpin tentera kerajaan yang sangat ramai digabungkan dengan tentera kerajaan ayahnya, Raja Andrawan. Misi Putera Inderawan ialah membunuh Panglima Helang dan mendapatkan semula Puteri Salbiah tanpa mengetahui bahawa Puteri Salbiah sudah pun mempunyai seorang anak lelaki. Bendahara Wan Teja turut menyertai peperangan ini demi membalas dendam atas kematian anaknya, Pendekar Jagat yang telah dibunuh oleh Panglima Helang. Di dalam peperangan ini, ramai tentera pimpinan Panglima Helang yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang kampung, telah terbunuh. Panglima Helang pun berjuang habis-habisan untuk menentang tentera kerajaan itu. Namun, perjuangan Panglima Helang pun sampai ke penghujungnya apabila Panglima Helang berjaya ditawan oleh tentera kerajaan. Atas persetujuan Putera Inderawan, Bendahara Wan Teja telah membawa Panglima Helang ke satu tempat rahsia untuk menyeksa Panglima Helang tanpa pengetahuan Raja Syamil. Manakala, Putera Inderawan pula gagal menemui Puteri Salbiah. Ini kerana Puteri Salbiah sebenarnya sudah pun melarikan diri ke satu tempat lain yang agak jauh sambil mengendong bayi anak lelakinya yang diberi nama Megat Harimau, atas permintaan suaminya, Panglima Helang, demi keselamatan mereka berdua. Puteri Salbiah pun berjaya sampai ke sebuah kampung terpencil yang agak jauh dari wilayah kerajaan Selatan Jaya.

20 tahun kemudian, kerajaan Selatan Jaya diperintah oleh Raja Wan Teja. Sebenarnya Bendahara Wan Teja telah membunuh Raja Syamil untuk merampas takhta pemerintahan Kerajaan Selatan Jaya. Pembunuhan terhadap Raja Syamil dilakukan setelah mendapat sokongan para pembesar dan semestinya sokongan Putera Inderawan dan Raja Andrawan. Corak pemerintahan Raja Wan Teja sangatlah kejam dan suka menindas rakyat. Raja Wan Teja memerintah seperti diktator. Hal ini menyebabkan ramai rakyat tampil untuk memberontak dan ada yang berjuang untuk membalas dendam atas kematian Raja Syamil. Keadaan negara huru-hara dengan pemberontakan rakyat.

Panglima Helang (kini sudah tua) masih lagi hidup dan masih terus diseksa di penjara kerajaan yang terletak di ruang bawah tanah di dalam istana diraja. Setiap hari, Raja Wan Teja akan melawat Panglima Helang dan menyebatnya dengan cemeti untuk melemahkan Panglima Helang. Panglima Helang juga diberi makan hanya sekali sehari. Panglima Helang yang tangan dan kakinya diikat dengan gelung besi, tabah menghadapi seksaan itu. Setiap masa, dia berdoa supaya dapat dipertemukan dengan anak dan isterinya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kekuatan tenaga Panglima Helang sebenarnya sangatlah lemah. Namun, keluarganyalah faktor dia mampu bertahan menghadapi seksaan sampai sekarang. Panglima Helang juga tahu tentang rampasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Wan Teja terhadap Raja Syamil.

Di Kampung Muara Hijau, sebuah kampung terpencil dan jauh dari wilayah Kerajaan Selatan Jaya, Megat Harimau membesar sebagai anak muda yang gagah perkasa dan handal dalam seni bela diri. Megat Harimau mewarisi darah kepahlawanan ayahnya, Panglima Helang. Megat Harimau tahu tentang siapa sebenarnya ayahnya setelah diceritakan oleh ibunya, Puteri Salbiah. Malah, Megat Harimau pun tahu tentang darah diraja yang mengalir dalam tubuh ibunya itu. Walaupun usianya 20 tahun dan masih muda, Megat Harimau sudah pun bergelar guru silat dan mempunyai pengikut yang ramai (kebanyakannya anak-anak muda belasan tahun). Ibunya, Puteri Salbiah pula masih hidup dan sudah pun memulakan perniagaan kecil-kecilan di pasar kampung. Penduduk kampung tidak tahu tentang siapa sebenarnya Puteri Salbiah dan Megat Harimau. Namun, penduduk kampung menyenangi sikap dua beranak itu yang mudah mesra dan suka membantu penduduk kampung yang dalam kesusahan. Tok Darus, penghulu Kampung Muara Hijau, juga mengagumi kebaikan dua beranak itu. Tok Darus telah melantik Megat Harimau sebagai orang kanannya yang ditugaskan melindungi keselamatan Tok Darus daripada sebarang ancaman berbahaya. Ini kerana Megat Harimau adalah pemuda kampung paling handal bersilat dan paling dipercayai oleh Tok Darus. Tok Darus mempunyai seorang anak gadis yang merupakan gadis paling jelita di kampung itu. Anak gadis Tok Darus, Dahlia, menjadi rebutan ramai pemuda-pemuda kampung. Namun, Dahlia tidak suka dengan seorang pun daripada mereka. Dahlia sebenarnya sudah jatuh cinta dengan Megat Harimau kerana Megat Harimau seorang pemuda yang lain daripada lain. Dalam masa yang sama, Tok Darus berhasrat ingin menjodohkan Dahlia dengan Megat Harimau. Namun, Megat Harimau mahupun Puteri Salbiah, tidak tahu perancangan Tok Darus itu.

Di ibu kota Kerajaan Selatan Jaya, armada lanun pimpinan seorang ketua lanun bernama Respito, telah pun berjaya menyerang armada laut Kerajaan Selatan Jaya. Sebenarnya, kumpulan rakyat yang ingin memberontak terhadap Raja Wan Teja, pimpinan Pendekar Tia, telah meminta bantuan Respito untuk turut sama memberontak. Pendekar Tia dan anak buahnya akan menyerang dari darat, manakala Respito dan lanunnya akan menyerang dari laut. Namun, Pendekar Tia masih gagal untuk menawan istana diraja kerana tentera kerajaan yang lengkap bersenjata sangat ramai dan mengawal istana diraja. Raja Wan Teja sebenarnya kurang fokus pada kekuatan tentera lautnya kerana baginda sibuk menguruskan kekuatan tentera daratnya sahaja.

Raja Wan Teja pula telah mengarahkan sebahagian besar tentera daratnya untuk menyerang pemberontak-pemberontak yang sedang berkumpul di pantai Selatan Jaya. Pendekar Tia dan Respito sedang berbincang untuk strategi perang yang seterusnya. Pendekar Tia memberitahu bahawa dia sudah pun mengirimkan utusan-utusan untuk mencari pendekar-pendekar yang handal dari seluruh pelosok wilayah Kerajaan Selatan Jaya demi tujuan pemberontakan ini. Mereka berharap ramai pendekar menyertai pemberontakan menyerang Raja Wan Teja. Beberapa jam kemudian, tentera darat Kerajaan Selatan Jaya yang ramai, menyerang pemberontak-pemberontak itu. Maka, berlakulah peperangan yang dahsyat antara tentera kerajaan dengan gabungan tentera pemberontak dan kumpulan lanun.

Salah seorang utusan pendekar Tia, yang bernama Taming, telah sampai ke Kampung Muara Hijau. Taming terus mencari penghulu kampung untuk menyampaikan hasratnya. Akhirnya, Taming berjumpa dengan Tok Darus dan menceritakan apa yang sebenarnya sedang berlaku di ibu kota Kerajaan Selatan Jaya. Taming bercerita segala yang berlaku dari awal hingga akhir. Tok Darus terkejut dengan berita pembunuhan Raja Syamil dan rampasan kuasa daripada Bendahara Wan Teja (kini Raja Wan Teja). Tok Darus pun mencadangkan supaya Taming meminta bantuan Megat Harimau. Taming pun pergi ke perkarangan rumah Megat Harimau. Megat Harimau sedang menunjukkan ilmu persilatannya kepada anak muridnya. Taming tertarik dengan kehandalan Megat Harimau yang mengingatkannya tentang Panglima Helang. Taming yang lebih kurang sebaya dengan Panglima Helang pernah terlibat dalam peperangan 20 tahun yang lalu. Namun, Taming telah melarikan diri dari peperangan itu atas arahan Panglima Helang. Taming sempat melihat Panglima Helang ditawan. Taming pun berkenalan dengan Megat Harimau dan menceritakan perkara yang sebenarnya. Megat Harimau pun terkejut dengan berita itu. Puteri Salbiah yang baru balik daripada berniaga, pengsan serta-merta setelah mendengar berita ayahnya, Raja Syamil yang dibunuh oleh Bendahara Wan Teja. Taming pula terkejut melihat Puteri Salbiah dan tidak menyangka waris Raja Syamil itu masih hidup sampai sekarang. Taming juga terkejut bahawa satu-satunya waris Panglima Helang, iaitu Megat Harimau sudah berada di hadapan matanya.

Tok Darus, Dahlia, dan pengikut-pengikut Megat Harimau baru tahu bahawa Puteri Salbiah itu anak kepada Raja Syamil setelah diceritakan oleh Taming. Puteri Salbiah yang baru sedar daripada pengsan, menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpa ayahnya. Megat Harimau pula tekad untuk membalas dendam terhadap kematian datuknya itu. Megat Harimau telah meminta izin ibunya untuk pergi berjuang bersama-sama Taming dan pemberontak di ibu kota Kerajaan Selatan Jaya. Puteri Salbiah pun mengizinkan dan meminta supaya dibawa balik kepala Raja Wan Teja ke kampung itu. Megat Harimau pun berjanji untuk memenuhi permintaan ibunya. Namun, mereka semua tidak tahu bahawa Panglima Helang masih hidup. Maka, berangkatlah Megat Harimau dan pengikut-pengikutnya, mengiringi Taming menuju ke ibu kota Kerajaan Selatan Jaya. Dalam perjalanan, Taming menceritakan bahawa ada kemungkinan ayah Megat Harimau, Panglima Helang, masih hidup kerana dia sempat melihat Panglima Helang ditawan. Megat Harimau pula mendesak Taming menceritakan tentang Panglima Helang. Lalu, Taming pun bercerita tentang siapa sebenarnya Panglima Helang itu.

Di pantai Selatan Jaya, setelah dua hari dua malam berperang, tentera darat Kerajaan Selatan Jaya berjaya ditumpaskan. Gabungan tentera pemberontak mula memulakan strategi mereka. Penduduk di sekitar pantai itu yang kebanyakannya nelayan pun turut menyertai perjuangan itu. Rombongan pendekar-pendekar mula tiba dengan utusan masing-masing dan berhimpun di pantai Selatan Jaya. Akhirnya, tibalah rombongan Taming bersama Megat Harimau dan pengikut-pengikut dari Kampung Muara Hijau. Megat Harimau pun berkenalan dengan Pendekar Tia dan Respito. Taming menceritakan secara ringkas bahawa Megat Harimau adalah anak Panglima Helang dan Puteri Salbiah. Walaupun masing-masing yang mendengarnya terkejut, mereka tidak bertanya dengan lebih lanjut kerana ada tugas yang lebih penting sedang menanti.

Tentera pimpinan Raja Inderawan (kini menggantikan tempat ayahnya sebagai raja) telah pun sampai ke istana diraja. Raja Inderawan pun bertemu dengan Raja Wan Teja. Raja Wan Teja memeberitahu bilangan pemberontak semakin meningkat. Semuanya sedang berkumpul di pantai Selatan Jaya, dan akan mara ke istana diraja. Raja Wan Teja semakin risau. Ahirnya, Raja Inderawan mengusulkan supaya dikeluarkan sahaja Panglima Helang dan menggantungnya di atas istana dalam posisi untuk disula, supaya semua pemberontak dapat menyaksikan Panglima Helang yang sudah uzur dan lemah itu. Raja Inderawan menggunakan pendekatan psikologi untuk menghadapi kemaraan tentera pemberontak.

Tentera pemberontak sudah pun tiba di perkarangan istana diraja. Alangkah terkejutnya mereka melihat Panglima Helang yang masih hidup tetapi sudah tidak berdaya, dalam posisi untuk disula, di atas istana. Megat Harimau paling terkejut melihat ayahnya itu buat kali pertama.

Apakah kesudahan karya ini? Nantikan episod seterusnya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan