Khamis, 25 Februari 2010

Pharmacy: As Easy As ABC

Farid ialah seorang pelajar lepasan matrikulasi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) di UiTM Puncak Alam. Kisah ini menceritakan tentang keluarbiasaan Farid dalam ilmu farmasi. Bagaimana Farid, seorang pelajar biasa, sangat genius dalam ilmu farmasi. Malah, Farid lebih arif berbanding pensyarahnya sendiri, dan pakar-pakar farmasi sedunia. Farid pernah berkata, “ilmu farmasi semudah ABC”.

Selepas 2 minggu mendaftar di UiTM Puncak Alam, Farid mengikuti rombongan pelajar farmasi ke sebuah makmal farmaseutikal kepunyaan ahli farmasi Amerika Syarikat, Pharmayox Inc., yang dimiliki oleh Prof. Sean. Di sinilah terbongkarnya kegeniusan Farid dalam ilmu farmasi ini. Seorang saintis Malaysia yang bertugas di situ, Prof. Daud menyuruh Farid melakukan dispensing, iaitu menyediakan ubat secara tradisional. Farid mampu menyediakan sejenis ubat tanpa merujuk langsung kepada buku British Pharmaceutical Codex 1973, dan mana-mana buku rujukan lain. Malah, Farid dengan selambanya menyukat ubat tanpa menggunakan sebarang alatan pengukur. Akhirnya, sejenis ubat berjaya dihasilkan siap dengan labelnya yang sangat tepat. Prof. Daud meragui kemujaraban ubat yang dihasilkan oleh Farid itu. Setelah diteliti sedalam-dalamnya, ternyata ukuran yang dilakukan oleh Farid sangat tepat. Kuantiti active ingredient di dalam ubat itu menepati buku British Pharmaceutical Codex 1973. Ternyata Farid seorang yang sangat genius dalam ilmu farmasi. Maka, Prof. Daud mula merancang sesuatu.

Farid berasa sangat bosan di kelas kuliah. Terasa dia seperti baru belajar ABC ketika pensyarah sedang mengajar. Farid kerap menyoal dan berhujah dengan pensyarah-pensyarah yang mengajarnya. Malah, pernah juga Farid membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh pensyarah. Ketika kelas amali Pharmacy Practice, Farid dapat menyediakan 3 jenis ubat dalam masa kurang 30 minit. Para pensyarah yang menyelianya sangat kagum dengan kehebatan Farid itu.

Prof. Sean datang ke Malaysia setelah diberitahu akan kegeniusan Farid dalam ilmu farmasi. Prof. Sean merancang untuk menggunakan kepandaian Farid untuk agenda jahatnya. Prof. Sean dan Prof. Daud berpakat untuk menghasilkan ubat-ubatan luar biasa untuk dijadikan senjata biologi. Apabila Farid enggan bekerjasama dengan mereka, Prof. Sean dan Prof. Daud telah menculik rakan-rakan Farid dan ibu bapa Farid. Farid telah dipaksa menyediakan ubat-ubatan luar biasa jika mahu menyelamatkan mereka. Farid pula menggunakan kegeniusannya untuk menghasilkan ubat-ubatan yang tidak memberi apa-apa kesan pun, tidak memujarabkan dan tidak memudaratkan. Akhirnya, Farid berjaya menghasilkan ubat yang diberi nama Netrale. Prof. Sean dan Prof. Daud pula mati-mati percaya bahawa Netrale ialah senjata biologi yang mereka angankan. Mereka pun melepaskan rakan-rakan dan ibu bapa Farid seperti yang dijanjikan.

Beberapa minggu kemudian, Prof. Sean dan Prof. Daud ditahan oleh pihak polis atas kesalahan percubaan menyalahgunakan bahan kimia dan dadah berbahaya. Malah, mereka ditahan oleh sebuah agensi keselamatan bahan kimia antarabangsa, Chemcop International atas kesalahan percubaan menghasilkan senjata biologi. Rupa-rupanya, Farid merupakan salah seorang anggota Chemcop International. Farid sengaja merahsiakan keanggotaannya daripada pengetahuan sesiapa termasuklah orang tuanya. Itulah sebabnya segala kejahatan Prof. Sean dan Prof. Daud dapat dibongkarkan dengan segera. Ternyata tidak sia-sia Farid menghabiskan masa untuk menyamar sebagai pelajar farmasi di universiti.

Selepas penangkapan Prof. Sean dan Prof. Daud, serta pembubaran Pharmayox Inc., Farid meninggalkan UiTM Puncak Alam tanpa sebarang khabar berita. Hanya ibu dan bapanya sahaja yang tahu di mana Farid berada ketika ini. Di akhir cerita, dipaparkan bahawa Farid sebenarnya sedang berada di kawasan pedalaman di Brazil, yang mana Farid sedang melakukan satu tugasan khas.

1 ulasan: