Rabu, 15 Ogos 2012

sebuah karya aksi thriller dramatik: Satu Nama

Aris, seorang pembunuh upahan telah tekad untuk berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan dan ingin memulakan hidup baru. Namun, dia telah dihubungi oleh seorang VIP, Dato' Sameer, untuk membunuh seorang bekas anggota polis, Nasir. Sebagai ganjaran, Aris akan diberikan sejumlah wang bernilai RM500,000 jika berjaya membunuh Nasir. Setelah berfikir masak-masak, akhirnya, Aris bersetuju untuk menerima kontrak daripada Dato' Sameer itu memandangkan sasarannya cuma seorang sahaja iaitu Nasir. Aris tekad untuk berhenti sepenuhnya selepas menamatkan riwayat Nasir. Namun, tugasan terakhirnya tidak semudah yang disangka. Nasir yang berpengalaman sebagai anggota polis merupakan seorang yang sangat bijak dan hebat dalam segala segi. Nasir bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah inteleknya tidak kurang hebatnya. Nasir terlebih dahulu dapat tahu bahawa dirinya menjadi sasaran Dato' Sameer dan Aris. Lalu, Nasir telah membuat banyak perancangan untuk menghadapi kemaraan Aris. Setiap kali Aris cuba untuk membunuh Nasir, setiap kali itulah percubaannya gagal. Aris mula merasakan Nasir bukan calang-calang sasaran. Sebelum ini, Aris tidak pernah menghadapi masalah dalam melakukan tugas-tugas pembunuhan. Namun, untuk membunuh Nasir, Aris merasakan cabarannya sangat hebat. Setelah seminggu berlalu, Dato' Sameer menghubungi Aris dan meluahkan ketidakpuashatiannya terhadap Aris kerana Nasir masih hidup. Aris menceritakan tentang betapa hebat dan liciknya Nasir dan meminta tempoh selama satu minggu lagi untuk Aris menamatkan riwayat Nasir. Dato' Sameer pun bersetuju dan menaikkan jumlah wang ganjaran kepada RM1 juta. Aris pula bersetuju dengan harapan wang yang banyak itu dapat membantu Aris memulakan hidup baru selepas dia selesai melaksanakan tugas terakhirnya nanti. Nasir pula bekerjasama dengan tiga orang bekas anggota komando, yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerila ABC. Nasir mengupah Gerila ABC untuk menangkap Aris hidup-hidup. Maka, bermulalah adegan kejar-mengejar di antara Gerila ABC dan Aris. Dalam masa yang sama, Nasir tekad untuk membunuh Dato' Sameer. Setelah bermacam-macam halangan yang ditempuhi, akhirnya Nasir berjaya menjejaki markas persembunyian Dato' Sameer dan Nasir berjaya membunuh Dato' Sameer. Rupa-rupanya, tembelang Nasir pecah apabila didedahkan bahawa Nasir merupakan seorang pembunuh upahan yang diarahkan oleh majikannya, Tan Sri Rasyid, seorang taikun bisnes untuk menamatkan riwayat Dato' Sameer. Sebagai ganjaran, Nasir akan diberikan sejumlah wang bernilai RM1 juta. Gerila ABC pula akhirnya tumpas di tangan Aris. Aris berjaya mendapatkan maklumat mengenai Nasir sebelum membunuh Gerila ABC itu. Aris cuba untuk menghubungi Dato' Sameer untuk memberitahu perkembangan tugasannya, tetapi Nasir telah menjawab panggilan itu. Nasir memberitahu bahawa dia telah membunuh Dato' Sameer dan tidak mahu Aris memburunya lagi memandangkan itu adalah tugas terakhir Nasir kerana dia ingin berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan. Ternyata Aris dan Nasir memiliki persamaan yang mana kedua-duanya ialah pembunuh upahan yang ingin berhenti dari melakukan kerja-kerja pembunuhan dan sedang melakukan tugas pembunuhan yang terakhir. Aris merasa tercabar kerana misinya belum selesai sedangkan Nasir berjaya melunaskan misinya. Lalu, Aris tekad untuk menamatkan riwayat Nasir walaupun majikannya, Dato' Sameer sudah tiada lagi. Perasaan ego Aris mula menguasai segalanya. Aris mula menyiasat tentang profil dan sejarah hidup Dato' Sameer. Penyiasatannya dibantu oleh setiausaha merangkap Pembantu Peribadi (PA) Dato' Sameer, Naziha. Naziha banyak memberikan maklumat tentang Dato' Sameer yang akhirnya membawa kepada terbongkarnya satu rahsia silam apabila Aris didapati sebagai satu-satunyanya anak kandung Dato' Sameer dari isteri kedua Dato' Sameer yang dikahwini secara senyap-senyap. Aris juga mendapat tahu bahawa Tan Sri Rasyid adalah musuh ketat Dato' Sameer melalui sebuah IPAD milik Dato' Sameer yang mengandungi gambar-gambar Tan Sri Rasyid dan Nasir sedang duduk berbincang di sebuah restoran. Kini, Aris tekad untuk membunuh Nasir dan Tan Sri Rasyid untuk membela kematian bapanya, Dato' Sameer. Dalam masa yang sama, Nasir tahu tentang penyiasatan Aris itu dan telah melaksanakan rancangannya yang seterusnya iaitu menculik Naziha. Kini, Aris perlu berjuang untuk menyelamatkan Naziha dari cengkaman Nasir dan Tan Sri Rasyid sekaligus melunaskan dendam untuk bapanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan