Ahad, 14 Jun 2009

karya drama meruntun emosi: Pada Syurga Di Wajahmu

Dr. Nur Akmal (DNA) ialah seorang pakar psikologi yang telah berjaya merawat Rohani, salah seorang pesakitnya daripada kemurungan melampau. Keluarga Rohani terhutang budi dengan DNA dan atas perancangan kedua-dua belah keluarga, DNA dan Rohani dinikahkan. Rohani sebenarnya telah jatuh cinta pandang pertama pada DNA. DNA pula sudah ada kekasih yang bernama Yasmin. Dia terpaksa berkahwin dengan Rohani untuk menjaga imej keluarganya. Sejak berkahwin, DNA tidak pernah menyentuh isterinya. Rohani pula faham bahawa DNA tidak pernah mencintainya. Rohani merupakan seorang isteri yang taat, bertanggungjawab, dan setia pada rumahtangganya. Dia tidak pernah menceritakan masalah rumahtangganya kepada sesiapapun termasuklah orang tuanya. DNA pula seorang suami yang bertanggungjawab menyediakan nafkah zahir dan tidak pernah menghina atau bersikap kasar pada Rohani. Di rumah mereka, DNA seorang yang pendiam dan memberi kebebasan kepada Rohani untuk menguruskan rumahtangga mereka. Cuma kelemahan DNA ialah DNA tidak pernah memberikan kasih sayang dan nafkah batin seperti yang sepatutnya kepada Rohani.

Suatu hari, DNA meminta kebenaran daripada Rohani untuk bernikah dengan Yasmin. Walaupun kecewa, Rohani membenarkan DNA berkahwin lagi. DNA juga meminta Rohani merahsiakan perkahwinan keduanya daripada sesiapapun terutamanya daripada keluarganya. Yasmin pula tinggal bersama dengan DNA dan Rohani di bawah satu bumbung yang sama. Apabila DNA pergi bekerja, Yasmin selalu membuli Rohani. Bagi Yasmin, Rohani lebih layak bergelar orang gaji daripada bergelar isteri pertama seorang doktor. Rohani memang dilayan seperti orang gaji. Apabila DNA pulang daripada bekerja, Yasmin berpura-pura baik dengan Rohani. DNA pula tidak kisah bagaimana hubungan Yasmin dengan Rohani. Yang penting baginya, Yasmin sudah dimiliki olehnya secara sah. DNA juga sering memberikan perhatian dan kasih sayang kepada Yasmin.

Kawan baik DNA yang merupakan seorang jurutera, Uzair pula sudah lama menaruh perasaan pada Rohani. Apabila mendapat tahu Rohani sudah berkahwin dengan DNA, Uzair sangat kecewa. Lama-kelamaan, Uzair dapat menerima hakikat yang sebenarnya bahawa dia tiada jodoh lagi dengan Rohani. Namun, keadaan mula berubah apabila DNA sering menceritakan tentang perasaan bencinya pada Rohani dan tekanan yang dihadapinya selepas berkahwin dengan Rohani. DNA berterus-terang kepada Uzair bahawa dia tidak pernah mencintai Rohani. DNA juga memberitahu bahawa dia tidak pernah memberikan nafkah batin kepada Rohani. Uzair seringkali menasihatkan DNA supaya menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan jangan sesekali mengabaikan Rohani. Namun, DNA tidak pernah mendengar nasihat Uzair. Akhirnya, Uzair merasakan Rohani seperti ditindas dan digantung tidak bertali. Uzair berazam untuk memisahkan Rohani dengan DNA kerana baginya, Rohani tidak layak untuk DNA. Uzair berazam ingin mengahwini Rohani.

Satu hari, mayat Yasmin ditemui di dalam rumah kediaman DNA. Yasmin dipercayai mati dibunuh. Rohani pula menghilang entah ke mana. DNA ditahan kerana disyaki membunuh Yasmin. Polis pula melancarkan gerakan memburu Rohani yang juga suspek pembunuhan itu. Sebelum dibawa ke lokap, DNA meminta kebenaran daripada polis yang menahannya untuk membawa diari peribadi kepunyaan Rohani. Entah mengapa tiba-tiba hatinya terdetik untuk membaca diari itu. Sepanjang ditahan di lokap, DNA telah membaca diari itu. Di dalam diari tu, Rohani menceritakan perasaan kasih sayangnya yang tulus kepada DNA. Rohani juga menceritakan tentang gangguan panggilan telefon daripada Uzair dan pembulian yang dilakukan oleh Yasmin kepadanya. Rohani juga menceritakan desakan Uzair supaya Rohani meninggalkan DNA. DNA mula mengesyaki sesuatu. DNA meminta bantuan peguam peribadinya, Tan Sri Badrudin untuk membebaskan dirinya daripada dakwaan membunuh Yasmin. Dalam masa yang sama, DNA meminta bantuan penyiasat peribadinya, Jason Thomas untuk mencari Rohani yang dipercayai dibawa lari oleh Uzair. Tan Sri Badrudin berjaya mendapatkan alibi untuk DNA sekaligus membebaskan DNA daripada dakwaan membunuh Yasmin. Kini, Rohani pula menjadi suspek utama pembunuhan itu.

Selepas dibebaskan daripada tahanan, DNA tekad untuk mencari Rohani dan meminta ampun daripadanya. DNA berazam untuk cuba menyayangi Rohani selagi boleh dan akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. DNA mula teringat akan nasihat Uzair dan mula kesal kerana kedegilannya dulu. Sementara itu, Rohani dan Uzair pula berada di selatan Thailand. Uzair ingin bernikah dengan Rohani sedangkan Rohani masih mencintai DNA. Seorang kenalan Jason, Tan Ze Chien dapat melarikan Rohani daripada cengkaman Uzair. Uzair dan konco-konconya dari Thailand memburu mereka.

Di Bukit Kayu Hitam, Perlis, Rohani dipertemukan dengan DNA. Bagaimanapun, mereka termasuklah Tan dan Jason telah dikepung oleh Uzair dan konco-konconya. Uzair telah berterus-terang pada DNA bahawa dialah yang membunuh Yasmin. Uzairlah yang telah menculik Rohani dan memerangkap DNA ke dalam kes pembunuhan ini. Sebenarnya, Uzair lakukan semua itu kerana tidak tahan dengan sikap DNA yang sering mengabaikan Rohani dalam rumahtangga mereka. Sejurus selepas Uzair membuat pengakuan itu, Tan dan Jason pun melepaskan tembakan kepada Uzair dan konco-konconya. Mujurlah Uzair sempat mengelak daripada terkena tembakan itu. Sementara DNA dan Rohani pula melarikan diri dari tempat pertempuran itu. Uzair yang menyedari tindakan DNA dan Rohani segera mengejar DNA dan Rohani berbekalkan sepucuk pistol. Bagaimanakah nasib DNA dan Rohani nanti?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan